Pages

Friday, April 8, 2011

Pujuk Saleh serah kuasa

PENUNJUK perasaan antikerajaan berarak menuntut Saleh meletakkan jawatan dalam bantahan di bandar Taiz, selatan negara itu, baru-baru ini.
PENUNJUK perasaan antikerajaan berarak menuntut Saleh meletakkan jawatan dalam bantahan di bandar Taiz, selatan negara itu, baru-baru ini.
GCC jadi broker krisis Yaman
LONDON/DUBAI: Negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menjadi orang tengah mewujudkan perjanjian supaya Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh meletak jawatan dan menyerah kuasa kepada satu majlis pemimpin puak dan politik sementara, selepas 32 tahun memerintah.
Tindakan balas Salleh terhadap penentangnya hingga membawa pertumpahan darah mencabar kesabaran penyokongnya iaitu Amerika Syarikat dan Arab Saudi, protes yang dianggap berpunca daripada perkembangan di Mesir dan Tunisia.

Pelbagai sumber rasmi berkata, Amerika dan GCC bersedia mengetepikan Saleh dengan harapan mengelak huru-hara di negara Arab paling miskin itu yang dituduh melindungi al-Qaeda.

Walaupun diplomat yang biasa dengan rundingan tidak yakin perjanjian itu dapat dicapai, cadangan oleh negara Arab di Teluk adalah supaya Saleh bersetuju berundur dan menyerahkan kuasanya kepada sebuah majlis negara.

“Antara cadangan ialah membentuk majlis pemerintah yang mengumpulkan semua parti politik dan puak untuk satu tempoh tidak melebihi tiga bulan,” kata pegawai.

Syor itu akan disampaikan kepada Saleh dan pembangkang dalam rundingan tidak lama lagi di Arab Saudi. Tiada tarikh ditetapkan.
“Majlis itu akan menentukan proses pilihan raya,” tambah pegawai Teluk itu, sama seperti sumber lain di rantau itu dan sebaliknya.

Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang mengumpulkan Arab Saudi dengan jiran kecilnya Kuwait, Oman, Bahrain, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, membuat jemputan Isnin lalu.

Saleh memaklumkan wakil GCC Selasa lalu, beliau akan datang untuk berunding di Riyadh. Duta sedang menunggu maklum balas daripada pemimpin pembangkang yang mereka temui di Yaman kelmarin.

Lebih 100 orang terkorban sejak bantahan di Yaman Februari lalu. Kematian 52 penunjuk perasaan pada 18 Mac lalu, jelasnya di tangan lelaki bersenjata yang menyokong Saleh menukarkan sekutu kedua-dua pihak di dalam dan luar negara menentang ketua negara veteran itu. – Reuters
Berita Harian Online | Pujuk Saleh serah kuasa

No comments: