Pages

Friday, April 8, 2011

2 kereta api bertembung di Israel


PENYIASAT Israel dan pasukan penyelamat berada di tempat kejadian di mana dua kereta api penumpang bertembung di stesen kereta api Netanya di utara Tel Aviv, semalam. – AFP

TEL AVIV 7 April – Sekurang-kurangnya 70 orang dimasukkan ke hospital selepas dua kereta api penumpang bertembung berhampiran sebuah stesen kereta api di utara Tel Aviv, hari ini.
Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, beberapa mangsa dimasukkan ke hospital kerana terkejut dengan insiden itu, manakala kebanyakan mangsa mengalami cedera ringan kerana kedua-dua kereta api berkenaan sedang bergerak perlahan ekoran mendekati stesen di bandar Netanya itu.
Saksi menyatakan bahawa kereta api dua tingkat itu bertembung di lokasi di mana landasan-landasan kereta api bertemu beberapa ratus meter dari stesen berkenaan.
Kesilapan manusia dipercayai menjadi punca berlaku kemalangan itu.
Polis dan Perkhidmatan Kereta Api Israel kini menyiasat sama ada seorang daripada pemandu kereta api itu telah melanggar lampu isyarat.
Menurut saksi, sebuah kereta api telah melanggar satu lagi kereta api yang sedang berhenti dan menyebabkannya rosak teruk.
“Kami baru sahaja meninggalkan stesen Netanya ketika kami mendengar bunyi kuat,” kata seorang penumpang kereta api lain yang enggan dikenali kepada wartawan.
Dia juga turut percaya seorang daripada pemandu kereta api itu mungkin telah melanggar lampu isyarat. – Dpa

No comments: