Pages

Saturday, January 15, 2011

Ribuan tuntut Presiden Tunisia letak jawatan




RIBUAN penunjuk perasaan berarak di sebatang jalan raya menuntut Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali (gambar kecil) meletakkan jawatan di Tunis semalam.


TUNIS – Beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di jalan-jalan raya semalam selepas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali berikrar akan meletak jawatan pada 2014 dan mengarahkan supaya penggunaan kekerasan terhadap para penunjuk perasaan dihentikan.
Mereka menuntut supaya presiden itu meletak jawatan dengan segera.
Perhimpunan itu dibuat walaupun presiden berusia 74 tahun itu kelmarin berjanji bahawa beliau tidak akan bertanding semula pada pilihan raya akan datang dan menyatakan, pentadbirannya telah tersilap membaca ketidakpuasan yang sekian lama terbuku di hati rakyat.
Beliau juga berjanji akan menurunkan harga barangan keperluan asas seperti susu, roti dan gula di samping berikrar untuk membatalkan sekatan Internet.
Rakyat sebelum ini berang dengan kenaikan harga barang keperluan asas yang tidak terkawal manakala laman web seperti YouTube dan Dailymotion turut disekat.
Namun, akses kepada laman-laman web itu dibuka semula kelmarin.
Selepas 23 tahun melaksanakan pemerintahan kuku besi, pengakuan Zine El Abidine mengenai kelemahan pentadbirannya telah menyebabkan musuh-musuhnya semakin berani selain tajuk-tajuk utama akhbar menyokong peletakan jawatannya.
“Saya faham akan anda (rakyat),” kata muka hadapan akhbar Alchourouk, yang memetik kata-kata presiden berkenaan manakala pesaingnya, akhbar Le Temps melaporkan: “Selepas darah dan kebinasaan kini muncul harapan.”
Menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia, sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh sejak protes rakyat bermula selepas seorang graduan sebuah universiti di bandar Sidi Bouzid, tengah Tunisia membunuh diri dengan membakar dirinya. – Agensi

No comments: