JEMPOL 14 Jan. - Sudah tiada lagi rasa hormat seorang remaja apabila membawa tiga rakannya termasuk seorang remaja perempuan merompak dan menikam sehingga mati datuknya di rumah mangsa di Felda Palong Dua, dekat sini, malam semalam.
Lebih tidak berperikemanusiaan, mereka yang melarikan wang tunai dan barang kemas bernilai RM10,000 membiarkan sahaja warga emas itu yang ditikam empat kali, rebah berlumuran darah.
Neneknya pula dipukul dan diketuk dengan objek keras di tangan dan bahu menyebabkan dia terbaring kesakitan.
Mangsa, Mokhtar Yusoh, 71, meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak di salah sebuah bilik rumah satu setengah tingkat itu, di hadapan isterinya, Halimah Mad Yasin, 57, kira-kira pukul 9 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, cucu lelaki Mokhtar berusia 17 tahun bersama tiga lagi rakannya berusia 15 dan 18 tahun ditahan di sekitar kawasan berkenaan tidak lama selepas kejadian.
"Kesemua suspek dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Jempol untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pihaknya percaya berlaku pergelutan semasa kejadian itu sehingga salah seorang daripada suspek menikam Mokhtar sebelum mencederakan Halimah dengan objek keras.
"Mangsa meninggal dunia akibat ditikam oleh salah seorang suspek di belakang dan depan anggota badannya.
"Kita akan menyiasat secara terperinci kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Sementara itu, Halimah yang ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Felda Palong Dua dekat sini memberitahu, dia bersama arwah suaminya baru sahaja pulang dari menghadiri majlis tahlil di rumah ibu mertuanya di Bukit Rokan dekat sini.
Dia yang masih trauma dengan kematian suaminya itu berkata, sebaik sahaja tiba di rumahnya pukul 9 malam, dia terkejut mendapati keadaan bilik utama berselerak.
"Kami mengesyaki ada pencuri di dalam rumah. Saya juga terkejut apabila menemui sebilah parang di dalam bilik berkenaan.
"Dalam ketakutan itu, saya dan arwah suami terdengar suara beberapa orang sedang berbual dalam bilik di bahagian atas dan alangkah terkejutnya apabila kami dapati salah seorang daripada mereka adalah cucu kami sendiri," katanya.
Halimah memberitahu, terdapat seorang remaja perempuan bersama cucunya dan dua lagi remaja lelaki.
"Arwah suami saya menjadi marah sejurus terlihat cucunya itu dalam bilik berkenaan dan ketika itulah dia meminta saya menghubungi pihak polis.
"Tanpa saya duga, seorang daripada remaja itu meluru ke arah arwah suami lalu menikamnya bertubi-tubi. Saya pula dicederakan dengan objek keras," katanya sebak.
Bagi Halimah, dia tidak mungkin dapat melupakan bagaimana suaminya yang rebah dengan darah penuh di badan sempat melihat kesemua remaja itu termasuk cucunya melarikan diri dengan membawa beg tangan berisi wang dan barang kemas bernilai RM10,000.
Jenazah Mokhtar dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong Satu, dekat sini.
Halimah pula sudah dibenarkan keluar dari Hospital Jempol selepas menerima 30 jahitan di bahu, dada dan lengan.
No comments:
Post a Comment