Pages

Monday, December 26, 2011

Tentera laut Iran adakan latihan



Komander Tentera Laut Iran, Habibulah Sayari menunjukkan peta kawasan latihan Tentera Laut Iran pada sidang media di Teheran pada 22 Disember lalu. - REUTERS


TEHERAN 25 Dis. - Tentera Laut Iran, semalam memulakan latihan selama 10 hari di perairan antarabangsa berhampiran laluan minyak strategik di Selat Hormuz.

Latihan yang dipanggil 'Velayat 90' itu bakal membawa kapal-kapal tentera Iran berada berhampiran kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang turut berada di kawasan perairan itu.

Latihan tersebut diadakan 2,000 kilometer di luar Selat Hormuz yang meliputi utara Lautan Hindi dan Teluk Aden, berhampiran pintu masuk ke Laut Merah, lapor televisyen kerajaan Iran.

Ia merupakan usaha terbaru Iran menunjukkan kekuatannya ketika berdepan kritikan antarabangsa berhubung program nuklearnya ekoran kebimbangan Barat, Teheran akan membangunkan senjata atom.

Teheran, bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan menegaskan bahawa ia bertujuan keamanan.

Ketua tentera Iran, Laksamana Habibollah Sayyari berkata, Teheran mengadakan latihan itu untuk menunjukkan kekuatan tenteranya.

"Bagi menunjukkan kemampuan kami, pasukan Tentera Laut Iran perlu mengadakan latihan di perairan antarabangsa," kata Habibollah yang dipetik oleh stesen televisyen tersebut.

Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang dilalui oleh kapal-kapal minyak dari seluruh dunia yang turut menempatkan Laut Arab dan Teluk Aden.

Tentera Laut AS yang berpangkalan di Bahrain, Fifth Fleet turut aktif di kawasan itu dan terdapat juga beberapa kapal perang negara lain mengawal perairan tersebut daripada lanun.

AS dan Israel sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan ketenteraan ke atas Iran ekoran program nuklear negara ini. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: