Pages

Monday, December 26, 2011

Masa depan Korea Utara selepas Jong-il tidak menentu



Kim Jong-un (dua dari kanan) berdiri di tengah-tengah barisan pegawai-pegawai kanan tentera termasuk Jang Song-thaek (kiri) semasa mereka memberi penghormatan terakhir kepada Kim Jong-il di Istana Peringatan Kumsusan di Pyongyang, semalam. - REUTERS


Legasi pemerintahan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il dilihat menghadapi 'kesukaran' apabila negara itu terus 'terpencil' di peringkat antarabangsa, selain berdepan masalah ekonomi, kebuluran dan krisis berhubung program nuklearnya.

Kematian mengejut Jong-il memberi impak besar kepada seluruh warga Korea Utara dan kuasa pemerintahan negara komunis itu mula heboh diperkatakan oleh pelbagai pihak tentang siapakah yang bakal menggantikan beliau.

Sebelum kematiannya, Jong-il melantik seorang daripada tiga anak lelakinya, iaitu Kim Jong-un sebagai penggantinya bagi meneruskan pemerintahan dinasti itu yang masuk generasi ketiga.

Semasa hayatnya, Jong-il telah memberi tunjuk ajar kepada Jong-un untuk memerintah Korea Utara setelah ketiadaannya pada suatu hari nanti.

Disebut-sebut sebagai 'Pengganti yang hebat', Jong-un yang baru berusia lewat 20-an, bagaimanapun masih belum diangkat secara rasmi sebagai pemimpin baru Korea Utara.

Berpangkat sebagai Jeneral Tertinggi dalam pasukan tentera Korea Utara, Jong-un turut memegang jawatan dalam parti pemerintah.

Namun, kepercayaan yang diberi bapanya kepada Jong-un untuk memerintah Korea Utara menimbulkan persoalan tentang kedudukan peranan dua abangnya dalam pentadbiran kerajaan.

Jika mengambil kira faktor dinasti secara turun temurun, anak sulung sepatutnya akan menggantikan bapa yang meninggal dunia untuk memerintah negara.

Namun dalam hal ini, anak sulung Jong-il iaitu Kim Jong-nam tidak akan menggantikannya, sebaliknya Jong-un yang merupakan anak bongsu akan menggalas tanggungjawab tersebut.

Malah, kelibat dua anak lelaki Jong-il itu tidak banyak didedahkan media berbanding liputan yang diberikan kepada Jong-un.

Sehubungan itu, timbul persoalan mengapa hanya Jong-un yang menjadi tumpuan media berbanding dua abangnya? Dan mengapa Jong-il mewariskan pemerintahannya kepada anak bongsunya itu dan bukan kepada Jong-nam (anak lelaki yang tua)?

Menurut sumber yang rapat dengan Pyongyang dan Beijing, Jong-un perlu berkongsi kuasa dengan seorang bapa saudara dan angkatan tentera berikutan kematian bapanya, apabila negara komunis itu beralih daripada kepimpinan seorang diktator kepada pemerintahan kolektif.

Jika benar, Korea Utara akan diperintah tiga pihak yang berkuasa iaitu Jong-un, bapa saudaranya Jang Song-thaek dan angkatan tentera.

Song-thaek, 65, dilantik pada 2009 untuk menganggotai Suruhanjaya Pertahanan Negara iaitu majlis kepimpinan tertinggi yang pernah diketuai oleh Jong-il.

Sesetengah pihak menjangkakan, Song-thaek dan isterinya yang merupakan adik kepada Jong-il, Kim Kyong Hui bakal memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan masa depan Korea Utara.

Konflik dalaman dan program nuklear yang menimbulkan kebimbangan kuasa-kuasa besar juga dilihat berisiko untuk terus mengancam kestabilan dan keselamatan Korea Utara, sekali gus meletakkan masa depan negara itu terus menjadi tanda tanya.

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: