Pages

Thursday, December 15, 2011

Rumah bakal pengantin hangus


Oleh MANIRAH OTHMAN


ZAINAB dan suaminya, Asli serta tiga orang anak mereka di hadapan rumah yang hangus terbakar di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Impian seorang wanita untuk melihat perkahwinan anak perempuannya dilangsungkan dengan meriah pada 31 Disember ini tidak kesampaian apabila rumahnya bersama semua kelengkapan perkahwinan tersebut hangus dalam kebakaran di Kampung Bukit Tunggal di sini semalam.

Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu bermula dari salah sebuah bilik di rumah yang didiami Zainab Salleh, 47, dan suami, Asli Baring, 48, bersama anak-anaknya.

Menurut Zainab, ketika kejadian, dia sedang memasak di dapur manakala seorang anaknya berada di ruang tamu dan suaminya pula keluar bekerja. Tujuh orang anaknya tiada di rumah ketika kejadian manakala dua lagi menetap di Kuala Lumpur termasuk Nurul Azma, 24, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 31 Disember ini.

"Saya pada mulanya terbau seperti benda terbakar dan saya cuba periksa di luar rumah sebab ingatkan ada orang bakar sampah. Tiba-tiba anak saya menjerit memberitahu ada api dalam bilik," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Zainab berkata, dia cuba memadam api tersebut dengan air tetapi melihat api semakin marak dan dia bersama anaknya terpaksa keluar dari rumah tanpa sempat menyelamatkan barangan berharga termasuk barang-barang persiapan perkahwinan Nurul Azma.

"Ini majlis perkahwinan pertama dalam keluarga kami sebab anak sulung tidak kahwin lagi dan saya rancang nak buat meriah sikit.

"Tetapi bila rumah sudah terbakar, saya tidak tahu nak buat apa lagi sebab semua persiapan termasuk barang hantaran yang sudah siap digubah hangus," katanya sedih.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

No comments: