Pages

Thursday, December 15, 2011

Rakyat Mesir keluar mengundi



SEORANG lelaki mengundi di sebuah pusat pengundian di Giza, tenggara Kaherah semalam. - AFP


KAHERAH, Mesir - Rakyat Mesir di sembilan wilayah keluar mengundi semalam dalam pusingan kedua pilihan raya Parlimen pertama yang diadakan sejak kebangkitan rakyat memaksa Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan pada Februari lalu.
Puluhan orang berbaris di luar sebuah pusat mengundi di sebuah sekolah dekat Piramid Giza di barat bandar raya ini untuk menunggu giliran membuang undi dan mencelup jari mereka ke dalam dakwat untuk digunakan di atas kertas undi.
Pilihan raya berkenaan berlangsung dalam tiga peringkat dan akan berakhir pada awal tahun depan.
Parti-parti Islam memenangi majoriti dalam pusingan pertama pilihan raya berkenaan.
Orang ramai berharap parti-parti Islam yang bertanding dapat mengekalkan prestasi tersebut pada pusingan seterusnya.
Pengundian pusingan kedua yang akan berakhir Selasa depan bakal memutuskan pemenang 180 daripada 498 kerusi Dewan Rendah Parlimen Mesir.
Pusingan ketiga dan terakhir dijadual diadakan pada awal Januari depan.
Seorang pengundi, Hussein Khattab berkata, dia bercadang untuk mengundi Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang mewakili pergerakan Ikhwanul Muslimin yang memperoleh kemenangan besar pada pengundian pusingan pertama. FJP memenangi 47 peratus kerusi Dewan Rendah Parlimen setakat ini.
"Kami perlu mencuba pemerintahan parti Islam dan membuat keputusan sama ada ia baik untuk kami (rakyat Mesir). Jika sebaliknya, kami akan kembali ke Dataran Tahrir," said Khattab, 60, yang merujuk kepada dataran di sini yang menjadi tumpuan sekebangkitan selama 18 hari rakyat Mesir yang mendesak Hosni supaya meletak jawatan.
"Saya mahu Mesir memiliki perlembagaan yang dapat memuaskan hati setiap pihak," tambahnya.
Pilihan raya kali ini dianjurkan kepimpinan tentera yang memerintah Mesir bagi menunaikan janji untuk menyerahkan pemerintahan negara kepada pentadbiran awam. - AP

No comments: