Gangguan

MARANG – Kerisauan lima sekeluarga dari Kampung Temilang, Pengkalan Berangan dekat sini terhadap gangguan misteri lembaga wanita berambut panjang menyerupai hantu Kak Limah sejak beberapa minggu lalu, bakal berakhir, apabila ada pihak tampil membantu mereka.

Ketua keluarga itu, Mazlan Ali, 55, lega setelah dia menerima panggilan daripada seorang lelaki bergelar ustaz dari Hulu Selangor sejak tiga hari lalu yang sanggup menyelesaikan misteri menghimpit keluarganya itu, secara percuma.
Menurutnya, ustaz itu akan datang ke rumahnya pada Sabtu ini, bersama dua lagi pembantu bagi menangani gangguan yang berlaku sejak dia membawa pulang beberapa keping papan, perabot dan tiang rumah pusaka milik keluarganya di Jerangau, Dungun hujung November lalu.
“Sebaik menerima panggilan daripada ustaz itu, saya rasa sungguh lega, Alhamdulillah ada juga pihak sudi membantu kami.
“Buat masa ini ustaz itu sudah beberapa kali, menghubungi saya dan bertanya perkembangan berhubung gangguan dialami,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Dalam pada itu, bapa kepada lapan anak itu berkata, sejak berita berhubung gangguan misteri dialaminya sekeluarga disiarkan, gangguan itu semakin bertambah terutamanya kepada dirinya.
Katanya, sejak beberapa hari lalu, sebelah kanan badannya menjadi lemah dan tidak mampu membuat sebarang kerja, hanya berkurung di dalam rumah.
“Malah ada kalanya badan saya rasa seram sejuk, rasa nak marah dan tiba-tiba rasa sebak sehingga menyebabkan saya rasa semakin tertekan.
“Saya risau, sejak gangguan ini berlaku saya tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja-kerja kampung yang saya usahakan sebelum ini dan ini secara tidak langsung menjejaskan pendapatan kami sekeluarga,” katanya.
Dia berkata, dia sudah tinggal di kampung itu sejak 50 tahun lalu dan tidak pernah mengalami sebarang gangguan, malah bahagia bersama keluarga, namun sejak peristiwa misteri itu berlaku dia dan keluarganya semakin tertekan serta dihimpit kegelisahan setiap kali senja.
Bagaimanapun Mazlan ketika ditanya, sama ada dia mahu memulangkan semula barang diambil dari rumah pusaka bapanya, dia berkata, sekiranya dia berbuat demikian bimbang perkara yang sama berlaku pula kepada keluarganya di Jerangau.
“Saya berharap dengan bantuan daripada ustaz itu nanti, ia dapat menyelesaikan segala masalah gangguan itu dan mengembalikan semula kehidupan kami seperti sedia kala.
“Apa dibimbangkan adalah keselamatan anak dan cucu saya, saban malam mereka tidak lena tidur kerana diganggu lembaga itu,” katanya.
Kelmarin, Mazlan nekad mahu memulangkan bara-ngan diambil daripada rumah pusaka bapanya kerana tidak tahan diganggu makhlus halus.