Syria

DAMSYIK - Puluhan ribu penunjuk perasaan telah berhimpun di bandar Homs, kelmarin semasa pemerhati Liga Arab yang ditugaskan untuk menilai situasi di Syria tiba di beberapa kawasan yang menjadi lokasi utama penduduk di seluruh negara mengadakan protes sejak Mac lalu.

Dalam satu kenyataan, aktivis hak asasi manusia mendakwa pasukan keselamatan Syria seperti mahu menyembunyikan kebenaran dengan mengambil tindakan mengarahkan semua kereta kebal berundur beberapa jam sebelum ketibaan pemerhati Liga Arab itu.
Isnin lalu, sekurang-kurangnya 30 orang di Homs didakwa terbunuh selepas kereta kebal milik tentera rejim Assad membedil secara rambang ke arah penunjuk perasaan.
Pemerhati Hak Asasi Manusia berpusat di London mendedahkan sebenarnya kereta kebal yang digunakan oleh pasu-kan keselamatan masih ditempatkan di beberapa bandar utama dan telah disembunyikan di dalam bangunan kerajaan sebagai tindakan untuk mengaburi mata pemerhati Liga Arab.
Sementara itu, beberapa saksi mendakwa pasukan polis telah melepaskan tembakan dan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kira-kira 70,000 penunjuk perasaan yang berarak untuk memasuki Dataran Al-Saa di Homs.
Demonstrasi yang diadakan secara berasingan di beberapa bandar dipercayai bertujuan untuk mendedahkan tindakan kekerasan sebenar yang selama ini digunakan oleh pasukan keselamatan rejim terhadap rakyat.
Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 5,000 orang terkorban sejak bermulanya demonstrasi menuntut pengunduran Presiden Bashar al-Assad pada Mac lalu.