Pages

Saturday, November 26, 2011

Ulama sokong demo

KAHERAH: Ketika ribuan penunjuk perasaan membanjiri Dataran Tahrir bagi menuntut tentera menyerahkan kuasa kepada orang awam, Imam al-Azhar mengambil langkah luar biasa dengan menyatakan sokongan terhadap desakan itu.

Melalui tindakan yang tidak pernah diambil sebelum ini, Imam al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayyeb dilaporkan menyokong dan mendoakan kejayaan penunjuk perasaan di pusat bandar raya Kaherah itu.


Pembantu kanan Sheikh Ahmed, Hassan Shafie, berkata pegawai tertinggi Universiti al-Azhar yang dilantik kerajaan itu memang mengharapkan desakan orang awam terhadap pemerintah tentera Mesir mencapai kejayaan.

Tidak cukup dengan itu, ulama terkenal juga mengetuai ribuan penunjuk perasaan mendirikan solat di dataran yang menjadi simbol kejayaan Mesir menyingkirkan Hosni Mubarak sebelum mendesak kuasa pemerintahan diserah kepada kerajaan awam.


Ulama berkarisma terbabit, Sheikh Mazhar Shahin, berkata mereka akan terus menduduki Dataran Tahrir sehinggalah tuntutan penyerahan kuasa itu ditunaikan tentera.


“Tiada pilihan lain kecuali kerajaan keselamatan kebangsaan ditubuhkan dengan diberi kuasa seperti seorang presiden,” katanya dalam ucapan digelar “syarahan revolusi” berkenaan.

Kekacauan politik di Mesir berterusan selepas orang awam berang dengan tindakan ganas pihak berkuasa menyuraikan protes di Dataran Tahrir baru-baru ini.


Insiden itu turut menyebabkan beberapa orang maut.

Sementara itu, menjelang pilihan raya parlimen pertama selepas era Hosni dijadual Isnin ini, tentera menamakan bekas perdana menteri, Kamal al-Ganzuri, 79, mengetuai kabinet baru Mesir.


Rumah Putih pula berpendapat, peralihan kuasa kepada kerajaan awam mesti dilakukan secara adil dan inklusif secepat mungkin sebagai memenuhi kehendak warga Mesir.


Jurucakap Rumah Putih, Jay Carney, berkata AS sangat yakin kerajaan baru Mesir perlu diberi kuasa sebenar dengan segera. Kenyataan itu dibuat sebelum Kamal dilantik. - AFP

myMetro | Ulama sokong demo:

'via Blog this'

No comments: