Tarikh : November 26, 2011
SEREMBAN - Dua lelaki maut manakala tiga lagi parah apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam dan terbalik dalam parit di Kilometer 247 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi dekat sini, awal pagi tadi.
Jurucakap polis berkata dalam nahas kira-kira 4.45 pagi itu, Toh Peng Kee, 54, yang memandu Nissan Sentra, tercampak keluar setelah keretanya terbabas.
Mangsa yang cedera parah di badan dan kepala, meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang iaitu D. Devanesen, yang juga penolong Ketua Penyunting akhbar The Star.
Devanesen, 57, yang cedera parah di badan dan kepala, meninggal dunia pada 6.15 pagi semasa dirawat di wad kecemasan Hospital Tuanku Jaafar di sini.
Tiga penumpang lain iaitu dua anak kembar Devanesen, Devakumaran dan Devadevan, 13, serta seorang wanita warga Perancis, Neagu Srancine, 81, cedera parah dan dirawat di hospital sama.
Mayat mangsa yang maut dibawa ke hospital berkenaan untuk bedah siasat.
Kemalangan berlaku ketika semua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Kajang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Yusof Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata punca kemalangan masih disiasat. - Bernama
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment