SHAH ALAM: Seorang peniaga barangan lusuh dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah menghalang anggota polis melakukan tugas dengan melanggar motosikal dipandu mangsa di Bukit Sentosa, dekat sini, tahun lalu.
Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman itu terhadap T Selvam Kumar, 33, dan memerintahkan ia dijalankan mulai 20 Oktober 2010.
Mengikut pertuduhan, Selvam Kumar didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat menghalang anggota di Balai Polis Bukit Sentosa, Razalee Ejim daripada melakukan tugas.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan memandu BMW dan melanggar mangsa di Jalan Jasmine, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, jam 5.35 pagi, pada 3 September lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, peguam Musfirah Mohamad mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira latar belakang anak guamnya.
Beliau berkata, fakta kes menunjukkan mangsa tidak mengalami kecederaan serius kerana masih boleh bangun dan mengejar tertuduh selepas dilanggar.
Selain itu, katanya, tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
“Anak guam saya memiliki rekod kesalahan lampau iaitu disabit bersalah mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tetapi ia berlaku 15 tahun lalu dan tidak ada kena mengena dengan kes ini,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis membuat pemeriksaan terhadap dua kenderaan BMW dan Proton Gen 2 di Jalan Jasmine, Bukit Beruntung pada awal pagi, pada hari kejadian.
Pemandu Proton Gen 2 itu sempat memecut sebelum memasuki Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), manakala BMW melanggar motosikal dipandu Razalee, dalam usaha untuk melepaskan diri.
Ini menyebabkan anggota polis itu terjatuh dan melepaskan tiga das tembakan mengakibatkan BMW itu merempuh pokok.
Tertuduh yang memandu BMW ditahan di semak berhampiran, manakala penumpang di bahagian depan kenderaan itu yang juga wanita Thailand turut ditahan di tempat kejadian.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment