MIYAZAKI menerima rawatan selepas dikeluarkan dari runtuhan sebuah hotel di Van. Beliau disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami. - Foto AP
PASUKAN penyelamat cuba mengeluarkan mangsa di bawah runtuhan bangunan di Van, Turki, semalam. - Foto EPA
Berpuluh dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan
VAN: Seorang pekerja Jepun adalah antara 10 yang terbunuh dalam gempa bumi kedua di timur Turki manakala sekumpulan penduduk yang marah mengadakan bantahan menggesa pihak berkuasa menutup dua hotel yang musnah dalam kejadian gempa bumi yang pertama.
Polis pencegah rusuhan menggunakan penyembur lada hitam untuk menyuraikan tunjuk perasaan.
Demonstrasi tercetus berikutan pekerja bantuan menggunakan penyodok untuk mencari mangsa yang selamat dalam kejadian gempa bumi Rabu lalu yang melanda wilayah sama digegarkan dengan gempa bumi pada 23 Oktober mengorbankan 600 penduduk.
Sekurang-kurangnya 28 penduduk dibawa keluar dari runtuhan di Van berikutan usaha menyelamat yang berterusan sepanjang malam menggunakan lampu berkuasa tinggi. Sepuluh kematian dilaporkan dalam dua hotel yang runtuh.
Mereka yang tertimbus termasuk sekumpulan wartawan Turki yang membuat liputan kejadian gempa pertama mengakibatkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal ketika cuaca sejuk mula melanda di wilayah pergunungan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Besir Atalay berkata gempa kelmarin menumbangkan 25 bangunan di bandar Van, namun hanya tiga dihuni sementara yang lain dikosongkan selepas mengalami kerosakan dalam gempa kuat bulan lalu.
Gempa dengan magnitud 5.7 adalah susulan gempa dengan kekuatan 7.2 23 Oktober lalu, mengorbankan lebih 600 orang.
Stesen televisyen CNN-Turk melaporkan pekerja penyelamat mempercepatkan usaha mencari mangsa terselamat pada waktu siang semalam, cuba membuka laluan dalam runtuhan.
Pekerja menggunakan lampu berkuasa tinggi untuk bekerja sepanjang malam walaupun berlaku beberapa gegaran susulan.
Atalay berkata pekerja penyelamat memberi tumpuan kepada dua tapak hotel yang runtuh dan sebuah bangunan pangsapuri. Pihak berkuasa pengurusan bencana berkata 28 mangsa yang terselamat ditarik keluar bersama tujuh mayat.
Satu daripada bangunan yang runtuh adalah Hotel Bayram, hotel terkenal di Van.
Agensi berita Dogan Turki, berkata dua wartawannya hilang.
Sebilangan pekerja penyelamat asing yang membantu mangsa dalam gempa sebelumnya juga menginap di hotel itu.
Persatuan Bantuan dan Penyelamat Jepun berkata seorang daripada anggotanya, Miyuki Konnai yang bergegas ke Turki untuk membantu mangsa dalam gempa sebelumnya, ditarik keluar hidup-hidup dari Hotel Bayram namun seorang lagi kakitangan, Atsushi Miyazaki, meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.
“Kami bercakap dengannya seketika, beliau berada di hospital,” kata Ikuko Natori kepada The Associated Press menerusi telefon dari Tokyo, Jepun, memaklumkan keadaan Konnai, 32.
Natori, bagaimanapun, berkata mereka gagal menghubungi Miyazaki, 41.
“Kami cuba menelefon telefon bimbitnya, ia berdering namun dia tidak menjawab,” kata Natori.
Seorang jurukamera agensi berita Cihan, Turki, Ozgur Gunes, berkata ada wartawan terperangkap menghantar mesej meminta diselamatkan.
Beliau meninggalkan hotel sebelum gempa namun bergegas semula mengambil kameranya apabila gempa melanda, tetapi mendapati bangunan itu sudah runtuh. – AP Berita Harian Online | 10 korban gempa bumi terbaru Turki:
No comments:
Post a Comment