LOS ANGELES - Aktor Eddie Murphy menarik diri daripada menjadi hos majlis anugerah berprestij, Anugerah Oscar 2012, tiga bulan sebelum majlis tersebut berlangsung.
Keputusan itu diumumkan sehari selepas penerbitnya, Brett Ratner mengambil tindakan sama daripada menjadi penerbit rancangan berikutan komennya yang berbaur anti-gay.
Presiden Academy Motion Picture Arts and Sciences, Tom Sherak mengumumkan penarikan diri Murphy sehari selepas pengarah filem box office terkini, Tower Heist yang turut dibintangi Murphy itu mengundur diri.
"Kami hargai bagaimana perasaan Eddie apabila kehilangan rakan kreatifnya, Brett Ratner dan kami doakan yang terbaik baginya," kata Sherak dalam satu kenyataan.
Murphy pula berkata dia memahami serta menyokong keputusan pihak penganjur untuk menukar penerbit rancangan tersebut.
"Saya sememangnya teruja untuk menjadi sebahagian daripada kru produksi dan kami sudah mula bekerja. Tetapi saya yakin pasukan produksi dan hos baharu akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik," katanya.
Tiada pengumuman segera mengenai siapakah pengganti mereka. Penarikan diri kedua-duanya memaksa pihak penganjur majlis tahunan yang berprestij itu mencari pengganti pada saat akhir sedangkan perancangannya sudah bermula sejak berakhirnya edisi tahun lepas.
Murphy yang diumum menjadi pengacara majlis anugerah tersebut pada September dilihat lebih berbakat berbanding pasangan hos tahun lepas, Anne Hathaway dan James Franco. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment