Pages

Monday, November 7, 2011

Mangsa ribut sambut Aidiladha ala kadar



MD. RIDZA SAID (kiri) mengambil kesempatan cuti Hari Raya Aidiladha untuk membersih serpihan bumbung rumahnya yang pecah akibat dipukul ribut di Taman Bersatu, Kuala Kedah, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Ketika kebanyakan umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidiladha di rumah mereka dengan selesa dan gembira, berbeza dengan nasib lebih 150 keluarga di Taman Bersatu, Kuala Kedah di sini menyambut perayaan itu secara ala kadar berikutan kediaman mereka rosak dipukul ribut Khamis lalu.

Mereka tidak membuat sebarang persiapan termasuk menyediakan kuih sebaliknya menerima juadah yang dibawa saudara-mara yang berkunjung ke rumah mereka yang masih belum dibaiki sepenuhnya.

Tinjauan di taman itu semalam mendapati, kebanyakan mangsa mengambil kesempatan cuti Aidiladha untuk membaiki dan mengemas rumah mereka yang rosak akibat kejadian tersebut.

Namun, suasana kemeriahan sambutan perayaan itu tetap dirasai apabila mereka tidak melepaskan peluang menunaikan solat sunat Aidiladha.

Seorang mangsa, Noraini Don, 48, memberitahu, akibat kejadian itu, keluarganya tidak membuat sebarang persiapan menyambut Aidiladha kerana keadaan rumah yang rosak teruk dan perlu beri perhatian untuk membaikinya.

"Tahun sebelum ini biasanya saya membuat ketupat dan menerima kunjungan kenalan serta jiran tetapi kali ini duduk di rumah sahaja dan tiada hidangan disediakan," katanya.

Seorang lagi mangsa, Rokiah Mat, 50, pula memberitahu, biarpun keluarganya tidak membuat persiapan, suasana sambutan itu tetap dirasai apabila ada saudara dan kenalan yang berkunjung dengan membawa juadah seperti lemang.

Katanya, persiapan hanyalah menyediakan juadah untuk dimakan bersama keluarganya yang disediakan secara sederhana.

"Rumah pun sudah jadi macam tongkang pecah tidak sempat nak buat persiapan raya. Sempena cuti ini kami ambil kesempatan cuci dan baiki rumah yang rosak," katanya.

Kosmo! Sabtu lalu melaporkan kerosakan sebanyak 173 buah rumah di Taman Bersatu, Kuala Kedah, akibat ribut Khamis lalu merupakan yang terburuk dalam tempoh 20 tahun.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

No comments: