Pages

Friday, October 21, 2011

Gaddafi terbunuh di Sirte


KUBU...seorang pegawai NTC menunjukkan saluran pembetungan tempat Gaddafi bersembunyi.
KUBU...seorang pegawai NTC menunjukkan saluran pembetungan tempat Gaddafi bersembunyi.



TRIPOLI: Terkulai di kaki pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), gambar Muammar Gaddafi itu menjadi bukti terhadap dakwaan kematian bekas pemimpin Libya berkenaan, semalam.
Menurut laporan awal, Gaddafi ditemui berlindung dalam saluran sistem pembetungan di tengah Sirte sejurus selepas pejuang NTC memasuki bandar kelahirannya itu dalam serangan terakhir.

Seorang daripada pejuang NTC berkata, Gaddafi merayu supaya tidak ditembak ketika cuba menyerah diri.

Beberapa laporan media Arab melaporkan, Gaddafi, 69, menemui ajal akibat kecederaan pada kakinya.

Imej rakaman kamera telefon bimbit yang dikeluarkan sejurus selepas penangkapannya tersebar menunjukkan Gaddafi ditawan.


Pemberontak berkata, Gaddafi bersenjata sepucuk pistol bersadur emas ketika ditemui.

Pemimpin NTC, Abdel Majid Mlegta, berkata selain kaki, Gaddafi turut ditembak di kepala.

“Berlaku tembak-menembak sengit di antara pejuang NTC dengan penyokong Gaddafi sebelum dia mati,” katanya.

Menurut Abdel Majid, Gaddafi ditembak ketika cuba melarikan diri, manakala sumber lain mendakwa, bekas diktator Libya itu cedera terkena tembakan sekurang-kurangnya sekali di perut.

Gaddafi dan keluarganya melarikan diri sejak Nato dan pemberontak mula menguasai Tripoli pertengahan Ogos lalu.


Laporan penahanan Gaddafi yang memerintah selama 42 tahun muncul tidak lama selepas tentera NTC mengumumkan mereka menawan Sirte.


Laporan awal CNN dan NTC mendakwa, Gaddafi berjaya ditahan, manakala al-Jazeera menyatakan, “pemimpin utama” Libya diberkas kerajaan baru Libya, tetapi tiada butiran diberi.


Pada awal pagi semalam, NTC mendakwa, sekurang-kurangnya lima kereta membawa pejuang yang setia kepada Gaddafi cuba melarikan diri dari Sirte.


Pegawai NTC sebelum itu memberitahu Reuters, Gaddafi ditahan berhampiran Sirte ketika dia menyertai konvoi cuba melarikan diri sebelum diserang jet Nato.


Katanya, panglima tentera era Gaddafi, Abu Bakr Younus Jabr, terbunuh dalam operasi itu. - DM
myMetro | Gaddafi terbunuh di Sirte:

'via Blog this'

No comments: