Pages

Saturday, October 29, 2011

Budak tertimbus 5 hari diselamat

 ERCIS (Turki): Seorang budak lelaki berusia 12 tahun diselamatkan semalam, selepas terperangkap di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi selama lebih 108 jam.

 Ketika jumlah korban tragedi Ahad lalu meningkat kepada 570 orang, anggota penyelamat berjaya menarik keluar Ferhat Tokay pada awal pagi, sekali gus memberi harapan baru untuk sukarelawan yang bertungkus-lumus dalam cuaca di bawah tahap beku.

 Harapan menemui lebih ramai mangsa yang masih terselamat pudar dengan pantas sehinggalah Imdat Padak, 18, ditemui selamat petang kelmarin.

 Ia segera meningkatkan kemungkinan masih ada yang bernyawa di bawah runtuhan bangunan di Ercis walaupun lebih 100 jam gempa berlaku.
 Rakaman televisyen menunjukkan seorang sukarelawan berusaha melindungi mata Ferhat ketika dia ditarik keluar bagi mengelak budak itu terkena kejutan cahaya digunakan anggota penyelamat.
 Kedua-dua mangsa muda itu dikejarkan ke hospital Ercis sebelum dibawa helikopter ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
 Berdasarkan data dikemas kini pasukan penyelamat kerajaan, seramai 187 orang berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan setakat ini. Gempa bumi dengan kekuatan 7.2 magnitud itu berlaku di timur wilayah Van dan bandar Ercis mencatatkan kemusnahan paling buruk dengan kira-kira 80 bangunan runtuh.
 Sementara itu, salji sekali lagi turun di Van semalam, menambah penderitaan mangsa gempa yang berkhemah di tempat terbuka kerana bimbang bangunan yang masih selamat bakal runtuh akibat gegaran susulan. - AFP

No comments: