Pages

Saturday, October 29, 2011

1 lagi mangsa gempa terselamat



ERCIS, Turki 28 Okt. – Seorang lagi mangsa ditemui hidup-hidup di celah runtuhan bangunan, awal pagi ini, selepas lima hari bencana gempa bumi kuat melanda timur Turki yang mengorbankan kira-kira 570 penduduk.
Menurut agensi berita Anatolia, Ferhat Tokay, 13, dibawa keluar dari runtuhan apartmen dengan memakai alat sokongan leher oleh pasukan penyelamat selepas terperangkap dalam runtuhan selama 108 jam.
Remaja tersebut dilaporkan mengalami kecederaan.
Semalam, siaran televisyen turut menyiarkan seorang remaja lelaki diselamatkan dari celah runtuhan dikenali sebagai Imdat Padak, 18 tahun. Dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pihak berkuasa melaporkan setakat ini, seramai 187 mangsa berjaya diselamatkan daripada runtuhan.
Kira-kira 2,000 bangunan ranap dalam bencana itu dan pihak berkuasa mengisytiharkan sebanyak 3,700 bangunan tidak selamat untuk diduduki.
Hujan dan cuaca sejuk menyukarkan operasi mencari dan menyelamat, manakala beribu-ribu mangsa yang kehilangan tempat tinggal masih ditempat di khemah-khemah sementara.
“Cuaca semakin sejuk dan anak-anak saya mula batuk, malah kami tidak tahu berapa lama kami akan duduk di sini (khemah perlindungan),” kata seorang mangsa, Sermin Yildirim yang sedang sarat hamil lapan bulan dan berkongsi khemah tersebut bersama empat keluarga lain.
Gempa bumi sekuat 7.2 pada skala Richter yang melanda Turki pada Ahad lalu turut mengakibatkan kira-kira 2,555 penduduk cedera, selain kemusnahan infrastruktur yang besar. – Agensi

No comments: