2011/10/15
BANGKOK: Sembilan juta penduduk di tengah kota Bangkok takut dan keliru selepas menerima mesej bercampur baur daripada pihak berkuasa khususnya sama ada banjir terburuk dalam sejarah Thailand akan memecahkan benteng penebat di ibu kota metropolitan terletak di kawasan rendah itu.Laporan terbaru menyatakan, paras air Sungai Chao Phraya meningkat kepada 2.13 meter, melepasi rekod tahun lalu 2.10 meter manakala 230 lebuh raya, kebanyakannya di wilayah utara dan Dataran Tengah, tidak boleh dilalui kerana banjir.Kerajaan Thailand memberi jaminan kepada penduduk bahawa ibu kota ini akan terselamat daripada banjir yang menenggelami keseluruhan bandar di seluruh Dataran Tengah selain memusnahkan sawah padi dan menutup beratus-ratus kilang.
Ia berasaskan keyakinan kota itu terletak di balik tembok banjir kukuh yang diperkuatkan sejak beberapa hari lalu.
“Saya menegaskan banjir hanya akan menjejaskan kawasan luar Bangkok dan tidak akan masuk ke kawasan lain,” kata Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Pihak berkuasa sejak beberapa hari lalu memberi amaran banjir mencapai tahap krisis dan air yang mengalir dari utara mungkin bercampur dengan hujan dan air pasang dalam beberapa hari lagi menyebabkan bah melanda Bangkok.
Ada pihak lain mengatakan aliran air mungkin amat kuat dan tiada apa dapat dilakukan untuk menahan kota itu tenggelam.
Mesej berbeza daripada sesetengah agensi, jabatan dan pihak berkuasa membawa kekeliruan, kadangkala ia berlaku dalam sidang media sama.
Ia ditambah dengan kesilapan pengumuman kelmarin mengatakan banjir memecahkan satu tembok utama, menyebabkan seorang menteri mengarahkan penduduk di satu kawasan segera dipindahkan.
Kerajaan kemudian memohon maaf atas kesilapan itu mengatakan arahan dibatalkan kerana kerosakan itu disalah tafsir.
Maklumat bertentangan itu menyebabkan ramai penduduk di ibu kota ini menggaru kepala dan tertanya-tanya sama ada tempat mereka benar-benar terancam dan bagaimana cara segera pindah.
Ada penduduk membeli bekalan tambahan air minuman, beras, mi segera, ubat dan keperluan lain, menyebabkan kekurangan bekalan di sesetengah kawasan.
Yang lain memindahkan kereta ke tempat lebih tinggi di kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah di bandar ini.
Bangunan di kebanyakan tempat di ibu kota menyimpan beg pasir, sementara yang lain membina pelindung daripada simen dan blok simen berlubang. Petugas sistem kereta api bawah tanah bandar itu bergegas memasang penghadang banjir keluli.
“Secara terus terang, saya benar-benar tidak tahu apa akan terjadi kepada Bangkok,” kata Kuealapat Atsawasiramanee, 26, yang tinggal satu kilometer dari Sungai Chao Phraya.
“Sama ada ia akan banjir atau tidak, saya tidak pasti. Ada banyak maklumat dan berita di luar sana dan saya tidak tahu mana satu untuk dipercayai.”
“Jika terjadinya banjir, kerajaan perlu mengatakannya. Jangan melindungi kebenaran kerana ia hanya akan menyebabkan lebih banyak huru-hara.”
Kekeliruan itu tidak terhad di Bangkok. Sebuah organisasi perdagangan Jepun semalam menyelar kerajaan kerana mendakwa gagal menyediakan maklumat sebenar dan tepat mengenai situasi di wilayah tengah Ayutthaya, yang menyebabkan beratus-ratus kilang musnah.
Seiya Sukegawa dari Organisasi Perdagangan Luaran Jepun (JETRO) Thailand berkata, banyak maklumat kerajaan sebelum air banjir menenggelami kawasan itu sudah lewat, bertentangan atau sukar difahami kerana ia tidak dikeluarkan dalam bahasa Inggeris.
“Syarikat Jepun tidak tahu apa yang berlaku atau maklumat mana benar atau salah. Mereka menerima amaran namun tidak cukup maklumat dan tidak cukup masa untuk membuat keputusan,” katanya.
Selain itu, lebih 300 kilang milik Jepun, termasuk pembuat elektronik dan bahagian pembekal automotif, rosak atau musnah akibat banjir.
Sukegawa juga mengadu, kerajaan Thailand tidak melakukan apa-apa untuk membantu syarikat dan kilang mereka dari segi menyelamatkan peralatan dan teknologi yang tidak rosak. – AP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment