PENDUDUK Palestin mengecat keldai dengan warna bendera Israel dan dilekat nama Obama dalam satu perarakan menyokong permohonan menjadi negara anggota PBB. |
Palestin serah dokumen jadi ahli PBB kepada Setiausaha Agung
NEW YORK: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, semalam memohon Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf negaranya meskipun Israel terus menjajah wilayahnya dan Amerika Syarikat pula berikrar menggunakan kuasa veto terhadap langkah berkenaan.
Abbas, 76, menyerahkan permohonan rasmi itu kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, dalam pertemuan yang dijadualkan pada 11.35 pagi waktu tempatan semalam untuk diputuskan selepas ini oleh Majlis Keselamatan, kata duta Palestin ke badan dunia, Riyad Mansour.
Perkara itu mengurangkan lagi pengaruh Washington di rantau yang digegarkan oleh kebangkitan penduduknya sekali gus menyebabkan Israel semakin terpencil akibat pendirian pemerintah baru.
Abbas akan berucap di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) sebelum meninggalkan New York dan pulang ke wilayah Palestin untuk mengadakan rundingan mengenai langkah seterusnya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang pada saat akhir baru mahu meminta Abbas bersemuka dengannya di New York, juga akan berucap di UNGA.
Permintaan Palestin itu kemudian akan dibentangkan kepada anggota Majlis Keselamatan. Ia memerlukan sokongan sembilan daripada 15 anggotanya. Amerika sudah menyatakan kesediaan menggunakan kuasa veto terhadap usul itu.
Penasihat diplomatik Abbas, Majdi al-Khaldi pula berkata, perunding Palestin percaya mereka akan memperoleh undi diperlukan.
Tetapi, beliau juga mendedahkan: Tiga anggota badan itu kini menghadapi tekanan Amerika iaitu Bosnia, Gabon dan Nigeria. Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mencadangkan pemimpin Palestin diberi status sementara pemerhati bukan anggota dan jadual rundingan baru mengenai keahlian penuh dalam tempoh setahun.
Presiden Kesatuan Eropah (EU), Herman Van Rompuy, pula menggesa pemimpin Israel dan Palestin menyambung rundingan ketika memberi ucapan di PBB. Reuters/AFP
No comments:
Post a Comment