Pages

Monday, August 22, 2011

Warga Singapura serbu Johor Bahru



RAMAI  orang bertandang ke Plaza Angsana, Johor Bahru, untuk memilih  aksesori pakaian menjelang Aidilfitri.
RAMAI orang bertandang ke Plaza Angsana, Johor Bahru, untuk memilih aksesori pakaian menjelang Aidilfitri.
Orang seberang Tambak berbelanja kelengkapan Aidilfitri ketika Ramadan

SINGAPURA: Sepanjang Ramadan tahun ini, bazar di Johor Bahru (JB) dibanjiri warga Singapura yang berbondong-bondong datang berbelanja untuk membeli juadah berbuka puasa dan persiapan Hari Raya. 

Peniaga di JB berkata, penduduk Singapura rata-rata membentuk 20 peratus hingga 30 peratus daripada pengunjung keseluruhan. Bilangan mereka lebih ramai pada hujung minggu berbanding hari biasa.
“Kalau orang seberang tak sokong bazar di JB, kami tak mungkin boleh terus berniaga seperti hari ini.
“Disebabkan merekalah semakin banyak bazar Ramadan dibuka,” kata seorang peniaga pakaian di bazar di Pandan Uptown dikenali Hafiz, 35, sambil menunjukkan deretan kereta plat merah berdaftar Singapura di sekitar kawasan itu. 

Selain di Pandan Uptown, bazar Ramadan juga banyak di Kampung Melayu Majidee, Pasar dan Stadium Larkin, dekat Pasar Perling, Plaza Angsana, Taman Daya, pasar dan sekitar masjid di Bandar Baru Uda dan Giant Xtra. 

Seorang penjaja nasi beriani di bazar Ramadan belakang Perling Mall, Ali Koya Kutty, menganggarkan 40 peratus pengunjung bazar tersebut, khususnya pada Sabtu dan Ahad, adalah dari Singapura. 

“Saya kerja di Singapura selama 30 tahun, jadi saya tahu bezakan mana orang Malaysia mana orang Singapura,” katanya sambil menambah suasana Ramadan di JB begitu meriah dan hidup berbanding di Singapura yang bosan dan lesu. 
Semua penjaja JB bersetuju bahawa rakyat Singapura menyeberang Tambak kerana banyaknya pilihan, baik makanan, kuih-muih untuk berbuka puasa dan Hari Raya, pakaian tradisional, herba dan hiasan Raya. 

“Singapura mana ada kilang buat baju kurung, pakaian Muslimah, kuih-muih dan perhiasan Raya. Apa yang dijual di Singapura itu kebanyakannya dari Malaysia dan harganya mahal. 

“Baik mereka datang ke JB, banyak pilihan dan harga lebih murah daripada di Singapura,” kata penjaja kuih Raya yang hanya dikenali sebagai Ariffin ketika ditemui di Pasar Pandan. 

Di gerai Jannatul Firdaus di bazar yang sama, seorang pembantu jualannya berkata ramai peniaga Singapura membeli kuih di kedai mereka untuk dijual semula. 

“Mereka beli satu bekas 50 keping kuih makmur berharga RM25 (S$10.20), mereka jual S$15 hingga S$20 (RM37 hingga RM49.33) di Singapura,” katanya. 

Bagi juadah dan makanan pilihan orang Singapura, Hussin Yusof, 30, yang menjual nasi lemak ayam berempah di gerainya di Bandar Baru Uda, berkata: 

“Orang Singapura suka cari ikan bakar, ayam percik, lauk pauk dan kuih-muih Melayu. Mereka pentingkan kebersihan dan hanya membeli jika gerai dan sekitar bazar bersih,” katanya. – Agensi , bharian

No comments: