TRIPOLI – Kumpulan pemberontak lewat kelmarin melancarkan serangan mortar ke Tripoli yang menjadi tempat persembunyian pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Serangan itu yang pertama kali dilancarkan buat pertama kali ke atas Tripoli oleh pemberontak. Pergolakan di Libya bermula apabila kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Gaddafi yang berkuasa selama 42 tahun berlaku sejak Februari lalu.
Wartawan-wartawan agensi berita Associated Press melaporkan mereka mendengar bunyi senjata api dan letupan di Tripoli.
Pertempuran sengit juga berlaku beberapa jam selepas kumpulan pemberontak menawan bandar Zawiya berdekatan dengan bandar ini.
Jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut menyertai serangan dengan melakukan pengeboman selepas malam menjelma.
“Kami merancang operasi ke atas Tripoli bersama NATO, sekutu-sekutu Arab kami dan para pejuang pemberontak di Tripoli dengan barisan komander pemberontak di Benghazi,” kata ketua Majlis Peralihan Kebangsaan NTC, Mustafa Abdel-Jalil dalam wawancara bersama wartawan stesen televisyen satelit Al-Jazeera.
Mustafa memberitahu, mereka memilih untuk melancarkan serangan ke atas bandar raya ini pada hari ke-20 umat Islam berpuasa iaitu kelmarin.
Tarikh tersebut katanya sinonim dengan peristiwa perang Badar apabila orang Islam pertama kali berperang untuk menawan kota Mekah.
Namun, selepas serangan itu kelmarin, suasana di bandar Tripoli senyap seketika semalam.
Bagaimanapun, kumpulan pemberontak dikatakan mula mengepung Tripoli semasa sejumlah anggota-anggota pemberontak mara ke ibu kota Libya tersebut dalam usaha mereka untuk menumbangkan Gaddafi.
Kemaraan para pemberontak itu akan menyebabkan Gaddafi dijangka tumbang pada penghujung bulan Ramadan.
Ketua NTC di Britain, Dr. Guma el-Gamaty berkata, kemenangan akan berpihak kepada pemberontak tidak lama lagi kerana rakyat Libya kini sedar bahawa rejim Gaddafi telah hilang kuasa dan pengaruh.
Dr. Guma turut memberitahu bahawa pilihan masih terbuka kepada pemimpin berusia 69 tahun itu untuk meninggalkan Libya dan mencari imuniti di negara-negara Arab. – Agensi
-kosmo
No comments:
Post a Comment