Pages

Monday, August 22, 2011

Pelajar IPTA cedera rakan kelar leher

SUNGAI PETANI: Seorang pelajar lelaki sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Merbok dekat sini cedera apabila lehernya dikelar oleh rakannya kira-kira jam 5 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, ketika kejadian mangsa Mohd Khairil Amir Zulkifli, berumur lingkungan 20-an, sedang tidur dalam bilik asramanya di IPTA berkenaan.
"Suspek mengelar leher mangsa ketika mangsa sedang tidur dan kita tidak pasti lagi sama ada suspek itu rakan sebiliknya atau tidak dan ia masih dalam siasatan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, suspek bertindak demikian kerana dipercayai berada dalam keadaan tertekan dan tidak dapat berfikir dengan waras sehingga cuba untuk membunuh mangsa.

"Dipercayai suspek baru putus cinta sehingga memberi tekanan kepadanya, fikiran jadi tidak menentu dan akhir sekali mengelar leher mangsa," katanya.

Hashim berkata, mangsa yang berasal dari Kangar, Perlis dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala suspek belum dapat dikesan.

"Kita masih giat mencari suspek bagi membantu siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh," katanya.
Sementara itu, bapa mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Zulkifli berkata, beliau mendapat panggilan telefon daripada IPTA terbabit pada kira-kira jam 6.15 pagi tadi dan tiba di hospital berkenaan kira-kira dua jam kemudian.

"Ketika saya tiba di hospital kira-kira jam 9 pagi anak saya masih belum dibawa masuk untuk pembedahan, dia dibawa masuk ke dewan pembedahan kira-kira jam 12 tengah hari tadi," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim.

Katanya, anak lelakinya itu ditikam di leher sebelah kiri dan beliau dimaklumkan oleh doktor bahawa anaknya itu tidak mengalami kecederaan serius.

Zulkifli berkata, beliau difahamkan bahawa anaknya tidak pernah berselisih faham dengan suspek dan anaknya menyedari lehernya dikelar apabila pergi ke tandas.

"Berdasarkan apa yang saya tahu daripada anak saya sebelum dia menjalani pembedahan, dia sedar yang lehernya dikelar ketika dia pergi ke tandas ketika melihatnya di cermin," katanya. - BERNAMA , bharian

No comments: