Pages

Saturday, August 20, 2011

Lima maut ribut landa festival rock



DUA orang melihat beberapa khemah runtuh akibat ribut hujan batu di festival rock di Kiewit, Belgium kelmarin.


BRUSSELS, Belgium - Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala 40 lagi cedera apabila ribut kencang dan hujan batu melanda satu festival muzik rock di sebuah kawasan terbuka di utara Belgium kelmarin, kata beberapa pegawai tempatan semalam.
Dua buah pentas runtuh dengan sebuah pentas menghempap sekumpulan penonton yang hadir pada konsert tahunan Pukkepop yang diadakan di Kiewit, dekat bandar Hasselt.
Agensi berita Belga melaporkan, beberapa skrin gergasi turut roboh dengan banyak pokok tumbang semasa ribut kencang itu manakala banyak kemah turut runtuh.
"Langit tiba-tiba gelap dan kami berlindung untuk menanti hujan turun. Tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Angin bertiup amat kencang," kata seorang pengunjung festival itu, Catherine Blaise, menurut akhbar tempatan, Le Soir.
Sebanyak 65,000 orang, sebahagian besarnya remaja, dilaporkan hadir pada festival berkenaan.
Sebelum ini empat orang maut apabila bumbung sebuah pentas persembahan pada satu pameran di Indianapolis, Amerika Syarikat runtuh pada 13 Ogos lalu.
Bumbung itu runtuh akibat angin kencang yang melanda lokasi pameran berkenaan. - Agensi, kosmo

No comments: