BAITULMUQADDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meluluskan permintaan Mesir untuk menambah anggota tenteranya di Semenanjung Sinai untuk mengembalikan ketenteraman di kawasan berkenaan, menurut sebuah stesen radio semalam.
Bilangan pasukan keselamatan Mesir di semenanjung itu dihadkan menurut perjanjian Mesir dan Israel pada tahun 1979 tetapi Netanyahu meluluskan langkah tersebut susulan permintaan daripada Kaherah, kata stesen radio berkenaan.
Seorang pegawai kanan Israel enggan mengesahkan laporan tersebut tetapi membayangkan langkah itu dialu-alukan ekoran kekerapan serangan di Semenanjung Sinai terutamanya ke atas saluran paip yang menyalurkan gas dari Mesir ke Israel dan Jordan.
"Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kami melihat peningkatan aktiviti melibatkan elemen ekstremis di Semenanjung Sinai. Tiada sebuah pun negara di rantau ini mahu kawasan ini (Semenanjung Sinai) menjadi pusat keganasan antarabangsa," kata pegawai itu.
Lebih 1,000 askar dan anggota polis dikerahkan di utara Sinai pada Sabtu lepas.
Pasukan itu memasuki bandar Rafah di tepi sempadan Mesir dan Genting Gaza.
Operasi itu bertujuan untuk membanteras militan-militan yang melancarkan empat serangan ke atas saluran gas sejak enam bulan lalu sejak bermulanya kebangkitan besar-besaran pada Februari lalu yang menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden Mesir.
Mesir menyalurkan sekitar 40 peratus gas asli Israel yang digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik. - AFP,
kosmo
No comments:
Post a Comment