Pages

Thursday, July 7, 2011

Tukang masak derita diganggu ah long


KUALA LUMPUR 6 Julai - Seorang tukang masak kini terpaksa hidup dalam ketakutan apabila sering diganggu oleh ah long ekoran tindakan bekas isterinya yang berhutang lebih RM10,000 dengan kumpulan ceti haram tersebut.

Mangsa yang merupakan duda anak tiga itu mendakwa sering menerima nota ugutan daripada ah long berkenaan sejak penghujung bulan lalu mendesaknya segera melangsaikan segala hutang bekas isterinya.

Dia yang dikenali sebagai Tin Keong, 49, memberitahu, kumpulan ah long itu juga sering menghubungi keluarganya dan mengugut mereka supaya menjelaskan hutang bekas isterinya.

"Setiap masa mereka akan menghubungi saya sekeluarga dan menakut-nakutkan kami supaya segera membayar hutang tersebut.

"Ugutan itu menyebabkan kami sekeluarga sangat takut sehingga terpaksa menumpang di rumah ahli saudara lain dan tidak berani pulang ke rumah sendiri," katanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.

Tambahnya, dia tidak menyangka bekas isterinya yang telah diceraikan 12 tahun lalu sanggup menyusahkan ahli keluarganya semata-mata ingin melepaskan diri daripada ancaman ah long.

"Lebih teruk lagi, walaupun mempunyai hutang yang banyak, dia masih tidak serik malah sering berjudi dan meminjam wang daripada ah long.

"Bekas isteri saya juga sanggup mengambil kad pengenalan saya secara senyap-senyap dan memberi alamat rumah serta nombor telefon kami anak-beranak," katanya.

Katanya, ekoran kejadian itu, dia terpaksa membuat laporan pada 30 Jun lalu kerana bimbang keselamatan diri dan anak perempuannya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya telah menerima banyak aduan berhubung kes ah long sejak tahun lalu.

"Sehingga semalam kami menerima sebanyak 213 kes yang membabitkan nilai berjumlah RM11.6 juta," katanya.

Utusan Malaysia Online - Kota

No comments: