Pages

Thursday, July 7, 2011

Tentera Syria gempur Hama


AMMAN 6 Julai - Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan 80 lagi cedera apabila tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad menggempur pusat bandar Hama, semalam.

Insiden berlaku ketika Perancis menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil pendirian kukuh dalam berhadapan dengan 'penindasan kejam bersenjata'.

Kereta kebal masih kelihatan di Hama selepas beberapa hari berlaku tunjuk perasaan terbesar menentang pemerintahan Assad sejak 14 minggu tercetusnya kebangkitan rakyat pada Mac lalu.

Ammar Qurabi daripada Pertubuhan Kebangsaaan bagi Hak Asasi Kemanusiaan berkata, tentera menyerbu pekan di utara Hama, berhampiran sempadan Turki di wilayah Idlib, manakala pihak berkuasa memperkuatkan lagi kempen penahanan.

Sekurang-kurangnya 500 orang telah ditahan di seluruh Syria dalam tempoh beberapa hari lalu, menurut kumpulan hak kemanusiaan.

Di timur wilayah Deir al-Zor, tentera menahan Ahmad Tuma, seorang bekas tahanan politik yang juga setiausaha agung kumpulan pembangkang, Damsyik Declaration.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Perancis, Romain Nadal berkata, dunia tidak boleh hanya mengambil pendirian 'berkecuali' dalam menghadapi keganasan.

"Kami berharap Majlis Keselamatan PBB mengambil pendirian tegas dan menggesa semua anggota pertubuhan dunia itu mengambil peranan dalam meredakan situasi di Syria," katanya.

Ahli Parlimen Perancis yang juga Ketua Jawatankuasa Persahabatan Perancis-Syria, Garard Bapt pula menyatakan bahawa selagi Liga Arab tidak bertindak dan negara seperti Arab Saudi mendiamkan diri, adalah sukar untuk melihat tekanan antarabangsa dapat ditingkatkan lebih daripada sekatan ekonomi. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: