ISLAMABAD 6 Julai – Satu suruhanjaya Pakistan yang ditubuhkan untuk menyiasat bagaimana Osama bin Laden boleh tinggal di negara ini tanpa dikesan, mengarahkan kerajaan supaya tidak menghantar pulang ahli keluarga pemimpin al-Qaeda itu.
Pakistan menahan tiga balu Osama yang berasal dari Yemen dan Arab Saudi, selain anak-anaknya selepas komando Amerika Syarikat membunuh pemimpin kumpulan pengganas itu dalam satu operasi di bandar Abbottabad pada 2 Mei lalu.
Sebelum ini, kerajaan Pakistan sering menyatakan akan menghantar pulang ahli keluarga Osama yang ditahan.
Seorang pegawai keselamatan negara ini, baru-baru ini turut mengesahkan kepada AFP bahawa balu termuda pemimpin al-Qaeda itu, Amal Abdulfattah akan dihantar pulang dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, suruhanjaya yang dianggotai empat anggota berpangkat tinggi itu menyatakan, tidak akan ada anggota keluarga Osama yang akan meninggalkan negara ini tanpa persetujuan mereka.
“Kementerian Dalam Negeri dan Perisikan Antara Perkhidmatan (ISI) telah diarah untuk memastikan mereka tidak dihantar pulang tanpa kebenaran kami,” kata suruhanjaya itu, semalam. – AFP
No comments:
Post a Comment