Pages

Thursday, July 7, 2011

Pesawat kargo Rusia terhempas, 8 terbunuh



Model pesawat serupa dengan pesawat kargo Rusia IL-76 yang terhempas di timur Afghanistan malam kelmarin. - Agensi


KABUL 6 Julai - Lapan orang dikhuatiri maut apabila sebuah pesawat kargo Rusia terhempas di kawasan pergunungan berbahaya di timur Afghanistan lewat malam tadi.

Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan berkata, pesawat kargo tersebut disewa khas oleh Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) yang diketuai NATO untuk menjalankan misi membantu pasukan keselamatan Afghanistan menentang militan Taliban.

Bagaimanapun seorang jurucakap tentera berkata, tidak dapat dipastikan siapa yang mengendalikan pesawat terbabit.

"Sebuah kargo Rusia IL-76 yang disewa oleh ISAF terhempas di Siagird yang terletak di kawasan Ghorband, wilayah Parwan, malam tadi," kata seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri.

Jelasnya, laporan awal menunjukkan pesawat terbabit membawa lapan krew yang tidak dikenal pasti identiti mereka.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Nangyalai Qalatwal mengesahkan kejadian yang berlaku di kawasan pergunungan Shakar Dara, kira-kira 70 kilometer di utara Kabul, dan ia disewa oleh pihak tentera.

Pegawai lapangan terbang yang tidak mahu dikenali turut mengesahkan ia adalah pesawat kargo IL-76, namun punca kemalangan tidak dapat dipastikan, sama ada berpunca daripada cuaca buruk atau pertempuran di kawasan tersebut lewat malam tadi.

Jurucakap ISAF, Mejar Tim James berkata, pesawat itu terhempas di kawasan altitud 3,800 meter, sekali gus menyukarkan misi mencari dan menyelamat. Tiada maklumat lanjut mengenai jumlah mangsa yang terkorban.

"Pesawat tersebut terhempas di kawasan yang berdaulat dan tiada kaitan dengan ISAF. Pihak kami sedang menyiasat sama ada pesawat itu disewa oleh ISAF," katanya.

Menurut James, tiada laporan mengenai pertempuran di kawasan tersebut pada masa kejadian. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: