Pages

Saturday, July 2, 2011

Rundingan Kesatuan Afrika gagal hurai pemberontakan di Libya

MALABO (Equatorial Guinea): Rundingan oleh Kesatuan Afrika (AU) mengenai rancangan menamatkan konflik di Libya digantung awal, semalam, tanpa mencapai sebarang persetujuan, sedang pihak pemberontak Libya mendesak Encik Muammar Gaddafi supaya meletakkan jawatan bagi membolehkan sebarang penyelesaian politik dicapai.

Para pemimpin Afrika itu cuba mendapatkan sokongan bagi peta laluan mereka dalam satu rundingan tertutup pada hari pertama sidang mereka kelmarin di ibu kota Equatorial Guinea, yang turut dihadiri para delegasi daripada pihak pemberontak Libya dan pemerintahan Encik Gaddafi.

Rancangan itu merangkumi satu gencatan senjata, bantuan kemanusiaan, satu tempoh peralihan, pembaharuan ke arah demokrasi dan pilihan raya, tetapi butir-butirnya dan pendirian Encik Gaddafi belum lagi didedahkan dengan jelas.

Pihak pemberontak mahu Encik Gaddafi meletakkan jawatannya selepas lebih 30 tahun berkuasa di Libya.

'Beliau harus meninggalkan jawatannya,' kata wakil Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Encik Mansour Safy Al-Nasr, kepada wartawan.

Ditanya apakah konflik itu akan berakhir melalui wadah politik atau ketenteraan, beliau berkata: 'Kami sudah bersedia bagi apa saja.'

Bagaimanapun, Encik Al- Nasr menegaskan bahawa para pemberontak bersedia menamatkan permusuhan jika Encik Gaddafi meninggalkan jawatannya.

'Jika kami melihat Gaddafi berundur, kami bersedia menghentikan pemberontakan dan berunding dengan saudara- saudara kami di sekitar Gaddafi,' tambahnya.

Namun, pihak pemberontak tidak akan berundur, 'tidak pada masa ini', menurut Encik Al-Nasr.

'Jika operasi ketenteraan mara untuk mengepung Tripoli, beliau akan menerima (gesaan supaya meninggalkan jawatannya). Gaddafi terasing. Beliau berada dalam kubu pertahanannya. Beliau tidak boleh bergerak dan beliau tidak mempunyai kehidupan,' kata Encik Al-Nasr menerangkan keadaan yang dialami pemimpin Libya itu.

'Askar-askar sedang mara,' tambah beliau sambil merujuk kepada pasukan tentera pemberontak Libya.

Encik Al-Nasr kelmarin berkata terdapat satu persetujuan meluas dalam sidang tersebut bahawa Encik Gaddafi harus meletakkan jawatannya.

'Ada yang berkata secara terbuka, ada yang tidak,' kata beliau kepada agensi berita AFP.

Sementara itu, di Vienna, pemimpin kanan pemberontak Libya, Encik Mahmud Jibril, berkata beliau sedang menunggu 'satu pendirian jelas' daripada AU sama ada ia menyokong atau mengecam Encik Gaddafi. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: