Pages

Sunday, July 31, 2011

Pesakit mental guna pemetik api bakar bilik

KUALA LUMPUR - Kebakaran yang berlaku di Bilik Isolasi Pesakit Mental, Jabatan Kecemasan Hospital Kuala lumpur (HKL) awal pagi kelmarin dikenal pasti berpunca daripada tindakan seorang pesakit mental memulakan kebakaran dengan menggunakan pemetik api yang ada padanya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, punca kejadian pada 12.30 pagi itu diketahui melalui pemerhatian kamera litar tertutup (CCTV) di bilik itu.
Katanya, ekoran itu api merebak dengan pantas serta mengeluarkan asap tebal sehingga menyebabkan perkhidmatan di Jabatan Kecemasan tergendala.
"Petugas hospital cuba memadamkan api dengan alat pemadam api dan mengeluarkan pesakit. Bagaimanapun, api merebak dengan pantas sehingga meragut nyawa pesakit mental berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Hasan berkata, sebelum kejadian, pesakit mental itu yang bertindak agresif telah dibawa oleh polis dengan diiringi dua anggota keluarganya ke Jabatan Kecemasan HKL pada pukul 10.15 malam.
Beliau berkata, pesakit itu yang pernah menerima rawatan di HKL, ditempatkan di Bilik Isolasi Pesakit Mental selaras dengan Prosedur Operasi Standard bagi pesakit mental yang agresif.
Katanya, pesakit lain serta petugas Jabatan Kecemasan telah dipindahkan keluar sehingga api berjaya dipadamkan oleh anggota pasukan Bomba dan Penyelamat pada pukul 12.55 pagi.
Hasan berkata, kejadian itu menyebabkan perkhidmatan di jabatan tersebut tergendala selama 94 minit dan disambung semula pada pukul 1.20 pagi dan kerosakan hanya melibatkan bilik berkenaan. - Bernama
http://www.kosmo.com.

No comments: