Pages

Sunday, July 31, 2011

Artik tiada ais menjelang 2030


KECAIRAN ais di Kutub Utara turut mengancam habitat beruang kutub.
KECAIRAN ais di Kutub Utara turut mengancam habitat beruang kutub.
Cuaca semakin panas di Kutub Utara
 

COLORADO: Lautan ais di Artik dilaporkan cair pada kelajuan tertinggi pada tahun ini, menunjukkan kenaikan suhu di Kutub Utara semakin meningkat menyebabkan sebahagian besar kawasan Artik diramalkan tiada lagi ais 30 tahun lagi.

Menurut pemantauan satelit Pusat Data Ais dan Salji Kebangsaan Amerika Syarikat (NSIDC), hanya 15 peratus kawasan Artik diselaputi ais baru-baru ini, iaitu seluas 8.5 kilometer persegi, kadar paling rendah berbanding rekod sebelumnya yang dibuat pada 2007.
Selain itu, data terbaru Pusat Sains Pola Universiti Washington menunjukkan ketebalan ais kawasan Artik tahun ini juga adalah yang paling nipis. 
Pengarah NSIDC, Mark Serreze, berkata sejak dua minggu lalu laut Artik kehilangan 150,000 kilometer persegi kawasan berais sehari. 

“Kadar ais yang menutupi kawasan semakin berkurangan dan pada masa sama semakin menipis. Keadaan cuaca yang sebelum ini mencairkan ais menyebabkannya cair lebih pantas. 

“Keadaan boleh berubah tetapi proses itu akan berterusan sehingga tiada lagi ais di Artik menjelang 2030. Kecairan ais akan berterusan,” kata Serreze. 
Pemanasan global mencairkan ais Artik sejak 30 tahun lalu pada kadar tiga peratus setiap dekad secara purata. Tetapi dua data baru menunjukkan bahawa Artik yang bebas ais boleh menjadi kenyataan dalam masa 30 tahun, jika ia berterusan. 

Ia adalah 40 tahun lebih awal daripada yang dijangkakan dalam penilaian laporan terakhir Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC). 

Lautan ais yang berada pada tahap maksimum pada Mac dan paling rendah dalam September setiap tahun disifatkan ‘keadaan yang membimbangkan’ bagi perubahan iklim kerana cuaca kutub semakin panas lebih cepat berbanding tempat lain di Bumi. 

Berdasarkan NSIDC, suhu udara bagi Jun 2011 adalah antara 1 dan 4 darjah Celsius lebih tinggi kepanasannya berbanding kebanyakan tempat lain di Artik. 

Keputusan itu menyokong kajian dalam jurnal sains baru-baru ini yang mengatakan bahawa aliran air dari Atlantik ke laut Artik adalah lebih panas hari ini berbanding 2,000 tahun dan boleh menjadi satu penerangan kepada kecairan lautan ais besar-besaran sekarang yang dipantau. 

Simulasi komputer oleh NASA menunjukkan bahawa kecairan ais Laut Artik tidak akan berterusan secara tetap. Berbanding dengan 1950-an, lebih separuh ais Laut Artik sudah hilang. 

Pengasas halaman web pemantauan iklim Weather Underground, Jeff Masters, berkata satu sistem tekanan tinggi berpusat di utara Alaska menyebabkan langit cerah dan sinaran matahari mencairkan ais Artik. 

“Gabungan tindakan udara mengikut aliran jam di sekitar kawasan tinggi tinggi dan melawan arah jam di seluruh sistem tekanan rendah berhampiran pantai barat Siberia menyebabkan panas, angin selatan ke Artik yang mendesak ais jauh dari pantai Siberia, menggalakkan pencairan,” katanya. – Agensi 

No comments: