Pages

Monday, July 25, 2011

Keluarga risau Nazaruddin sakit

KUALA LUMPUR - Kumpulan Abu Sayaf terus meningkatkan tekanan ke atas keluarga seorang rakyat Malaysia yang mereka culik pada 8 Mei lalu dengan mendesak supaya wang tebusan RM50,000 dibayar segera.

Lebih mengejutkan, wang tersebut bukan untuk pembebasan sebaliknya bagi membeli ubat untuk Nazaruddin Saidin (gambar), 38, yang didakwa kini sakit selain sebagai jaminan bagi memastikan nyawa rakyat Malaysia itu selamat.

Adik mangsa, Mohd. Lukman, 27, berkata, dia menerima panggilan telefon yang sangat menakutkan daripada salah seorang anggota kumpulan penculik pada Jumaat lalu.

Katanya, ini kerana lelaki tersebut mendesak supaya wang tebusan tersebut dilunaskan dalam masa tiga hari demi keselamatan abangnya.

"Dia bukan sahaja menelefon malah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya dua hari berturut-turut, mahu wang RM50,000 dibayar segera jika mahu abang saya selamat," ceritanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Nazaruddin yang merupakan bapa kepada enam orang anak diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata ketika menguruskan perniagaan berkaitan cicak tokek di selatan Filipina pada 8 Mei lalu.

Kumpulan penculik terbabit meminta keluarga Nazaruddin membayar sebanyak RM5.6 juta bagi tujuan membebaskannya.

Mohd. Lukman menjelaskan, mereka tidak mampu untuk membayar wang tersebut dan hanya mampu merayu kepada mana-mana pihak yang sudi untuk membantu keluarganya.

Katanya, keluarganya sudah buntu kerana tidak tahu bagaimana hendak mencari wang sebanyak itu.

"Saya berharap kerajaan Malaysia dan Filipina dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu membebaskan abang saya. Kami sekeluarga kini cukup tertekan,'' ujarnya lagi.

Kosmo! Online - Negara

No comments: