Pages

Monday, July 25, 2011

Budak ditemui pengsan dalam gerabak


KOMBINASI gambar menunjukkan gerabak kereta api laju dialihkan daripada jambatan di wilayah Zhejiang, semalam. - Foto REUTERS
KOMBINASI gambar menunjukkan gerabak kereta api laju dialihkan daripada jambatan di wilayah Zhejiang, semalam. - Foto REUTERS


Mangsa mampu gerak tangan walaupun terperangkap 21 jam dalam bangkai kereta api laju

SHUANGYU: Seorang kanak-kanak empat tahun ditemui pengsan dalam bangkai gerabak kereta api laju China semalam, 21 jam selepas berlakunya kemalangan ngeri di timur China itu yang meragut 43 nyawa dan menyebabkan 200 orang cedera.

Agensi berita Xinhua melaporkan kanak-kanak itu ditemui awal semalam ketika pasukan penyelamat bersiap sedia untuk menamatkan operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan.
“Kami menemui kanak-kanak itu. Dia masih boleh menggerakkan tangannya.” seorang ahli bomba dipetik sebagai berkata oleh agensi berita China itu. Kanak-kanak perempuan itu dibawa ke hospital tetapi tidak ada butir lanjut diberi mengenainya.

Kanak-kanak itu dipercayai berada dalam salah satu daripada dua kereta api laju yang terbabit dalam kemalangan di atas sebuah jejambat di timur China itu.
Salah satu daripada kereta api elektrik itu yang sedang menuju ke selatan dari Hangzhou, ibu negeri wilayah Zhejiang, kehilangan kuasa petang kelmarin apabila disambar petir.

Kereta api itu terhenti di atas jejambat berkenaan dan beberapa ketika kemudian dilanggar dari belakang oleh sebuah lagi kereta api laju yang berada di landasan sama.

Empat gerabak pertama kereta api di belakang jatuh 20 hingga 30 meter ke bawah jejambat. Salah satu daripada gerabak itu tersandar terhadap jejambat itu dalam kedudukan tegak.
Sementara itu, pihak berkuasa di China mengarahkan penambahbaikan ‘segera’ ke atas tahap keselamatan rangkaian kereta api lajunya.

China membelanjakan jumlah wang yang besar wang untuk membangunkan rangkaian kereta api lajunya yang akan meliputi 13,000 kilometer menjelang akhir 2012 dan 16,000 kilometer pada 2020.

Landasan berkelajuan tinggi baru bernilai AS$33 bilion (RM98.21 bilion) menghubungkan Beijing dan Shanghai dibuka kepada penumpang 30 Jun lalu, setahun sebelum dijadualkan dan sehari sebelum sambutan menandakan ulang tahun ke-90 Parti Komunis China.

Rangkaian baru itu mengurangkan sehingga separuh masa perjalanan di antara Beijing dan Shanghai, namun perkhidmatannya kadang kala lewat disebabkan kekurangan bekalan elektrik, mencetuskan siri kritikan. – AFP Berita Harian Online | Budak ditemui pengsan dalam gerabak

No comments: