Pages

Monday, July 25, 2011

Gaddafi sanjung Hosni Mubarak

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam memuji bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dengan menyifatkan beliau sebagai orang yang “bersederhana’.

Menurut Gaddafi, Hosni sepatutnya diberi penghormatan, bukan penghinaan.


“Saya kenal Hosni Mubarak, seorang yang hidup sederhana dan menyayangi rakyatnya,” kata Gadaffi dalam rakaman audio yang disiarkan televisyen Libya semalam.

Ucapan itu sempena ulang tahun rampasan kuasa 1952 di Mesir yang diketuai oleh Gamal Abdel Nasser terhadap pemerintahan beraja.


Menurut Gaddafi, revolusi itu memberi inspirasi kepadanya untuk mengetuai rampasan kuasa di Libya dan menggulingkan Raja Idriss yang disokong Barat, pada 1 September 1969.


“Hosni Mubarak sepatutnya dimuliakan bukan dimalukan,” katanya.

Pemerintahan Hosni, 83, selama tiga dekad berakhir dengan pemberontakan pada bulan Febuari. Beliau dijangka dibicarakan di mahkamah pada 3 Ogos ini bersama-sama dua anak lelakinya atas tuduhan membunuh dan rasuah. Hosni kini ditahan di sebuah hospital di sebuah bandar peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh, kerana menjalani rawatan sakit jantung.

Gaddafi yang masih tidak mahu melepaskan kuasanya walaupun pemberontakan besar-besaran menolak rejimnya dan juga setelah berbulan-bulan dibedil oleh tentera udara Nato, menggesa rakyat Mesir untuk mengikut model politik Libya.

Beliau juga berkata, konflik yang melanda negaranya bukanlah pertempuran menentang rejimnya tetapi satu ‘rancangan jahat penjajah.’ Gaddafi turut menafikan tuduhan kumpulan hak asasi antarabangsa kononnya beliau menindas mereka yang berbeza pendapat dengannya serta dakwaan kononnya rejimnya membunuh beribu-ribu penunjuk perasaan.


“Mereka berbohong dan berkata ‘Libya membunuh rakyatnya dengan peluru, sebab itu kami mesti melindungi orang awam’,” kata Gadaffi merujuk kepada kempen serangan udara Nato yang mendapat mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas alasan untuk melindungi orang awam. - Reuters

myMetro | Gaddafi sanjung Hosni Mubarak

No comments: