Pages

Saturday, June 18, 2011

Presiden Yaman tak akan pulang

Sanaa terus dakwa Ali Abdullah Saleh semakin sihat dan bakal kembali

RIYADH: Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh, yang kini dirawat akibat cedera terkena serpihan bom di sini, tidak akan kembali ke negara asalnya, kata seorang pegawai atasan Arab Saudi semalam, bercanggah dengan dakwaan Sanaa beliau akan kembali tidak lama lagi.

“Presiden Yaman itu tidak akan kembali ke Yaman. Belum diputuskan di mana beliau akan tinggal,” kata pegawai itu lagi, jelas memberi bayangan bahawa Saleh mungkin akan meninggalkan Arab Saudi ke negara lain.
Pegawai itu tidak menyatakan secara khusus sama ada keputusan untuk tidak kembali ke tanah airnya diambil oleh Saleh sendiri.

Pemimpin veteran itu diterbangkan ke sini 4 Jun lalu menaiki pesawat perubatan Arab Saudi, sehari selepas beliau cedera dalam satu letupan bom di dalam masjid dalam perkarangan kediaman presidennya di Sanaa dan tidak muncul di khalayak ramai sejak itu.

Laporan berhubung keadaan kesihatan Saleh agak samar-samar, namun Raja Bahrain, Hamad dilaporkan menelefonnya kelmarin, dua hari selepas Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, berbual dengannya menerusi telefon.

Sejak ketiadaan Saleh, timbalannya, Abdrabuh Mansur Hadi ditekan hebat pihak tempatan dan antarabangsa supaya mendengar tuntutan penunjuk perasaan menubuhkan majlis pemerintahan sementara, langkah yang akan menghalang Saleh berkuasa semula.
Rabu lalu, Hadi bertemu wakil belia yang menuntut penggulingan Saleh sejak Januari lalu. Mereka mendesaknya memberi pendirian jelas berhubung tuntutan mereka dan memberinya tempoh dua minggu untuk memberi jawapan.

Pertemuan itu diikuti rundingan antara Hadi dan pembangkang Parlimen apabila mereka bersetuju menenangkan keadaan sebagai langkah pertama ke arah memulihkan proses politik.

Washington mengalu-alukan rundingan Hadi dengan pembangkang Saleh, yang menjadi sekutu utama Amerika Syarikat dalam perang ke atas al-Qaeda.

“Kami gembira dengan perkembangan bahawa Hadi sudah memulakan dialog dengan pembangkang dan mengadakan beberapa rundingan,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Victoria Nuland.

“Seperti anda tahu, kami percaya tiada masa perlu dibazirkan untuk bergerak ke arah masa depan demokratik yang berhak dinikmati Yaman.”

Isnin lalu, penunjuk perasaan memberi Hadi tempoh 24 jam untuk mengisytiharkan pendiriannya berhubung gesaan mereka supaya beliau menyertai majlis dicadangkan bagi mengetuai negara itu secara maksimum sembilan bulan. – AFP
Berita Harian Online | Presiden Yaman tak akan pulang

No comments: