Pages

Thursday, May 19, 2011

Wartawan al-Jazeera hilang di Syria selamat


Dorothy Parvaz
Dorothy Parvaz

DOHA: Wartawan al-Jazeera, Dorothy Parvaz yang hilang sejurus tiba di Syria bulan lalu dibebaskan dan sudah keluar dari negara Arab bergolak itu, kata saluran berita itu dalam laman webnya semalam.

“Rangkaian al-Jazeera mengesahkan beliau sudah dibebaskan dan berada dalam keadaan selamat dan sihat,” kata satu kenyataan dalam laman web itu.
Al-Jazeera berkata, Parvaz, 39, kembali semalam ke Doha dari Iran selepas hilang sejurus tiba di Damsyik pada 29 April lalu. Parvaz memiliki pasport Amerika Syarikat, Kanada dan Iran, ditahan di Syria ketika tiba di Damsyik 19 hari lalu ketika bertugas.
“Ketika tempoh itu, beliau tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar,” ia menambah.

Pihak berkuasa Syria berkata, wartawan itu diusir ke Iran kerana melakukan perjalanan menggunakan pasport Iran tamat tempoh.

Kementerian Luar Iran, kelmarin berkata, ia sedang ‘mengikuti’ pergerakan Parvaz selepas Kedutaan Syria di Washington meletakkan satu kenyataan beliau diusir ke Tehran.

“Kami meneliti isu itu. Mendapatkan maklumat berhubung situasinya penting buat kami,” kata jurucakap kementerian, Ramin Mehmanparast kepada media, menyokong kenyataan Syria bahawa beliau memasuki Syria menggunakan pasport Iran tidak sah sambil membawa pasport lain.
Beliau menegaskan Teheran tidak mengiktiraf kewarganegaraan pelbagai.

Al-Jazeera merayu kepada Iran minggu lalu supaya membebaskan segera Parvaz. Kedua-dua pihak berkuasa Amerika dan Kanada melahirkan kebimbangan berhubung kesnya.

Satu ruangan dalam Facebook bertajuk ‘Free Dorothy, please urge Iran to release her immediately’ (Bebaskan Dorothy, tolong gesa Iran bebaskannya segera) mempunyai lebih 16,000 pelawat.

Pihak berkuasa Syria menutup negara itu kepada kebanyakan media antarabangsa ketika mereka mengenakan tindakan keras ke atas penunjuk perasaan kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad yang meletus dua bulan lalu.

Syria juga menuduh al-Jazeera dan saluran satelit lain sengaja membesar-besarkan bantahan dan imej penyiaran tanpa mengesahkan kesahihannya.

Oleh kerana hanya segelintir wartawan asing boleh memasuki Syria, media antarabangsa bergantung penuh kepada rakaman video dikeluarkan penunjuk perasaan dalam laman internet seperti YouTube. – AFP 

No comments: