SANAA 18 Mei - Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh dan kumpulan pembangkang hari ini menandatangani perjanjian damai yang bakal menyaksikan Ali menyerahkan kuasa dalam tempoh sebulan, sekali gus menamatkan pemberontakan antikerajaan di negara ini yang tercetus sejak Mac lalu.
Menurut pelan damai itu, dalam tempoh sebulan dari sekarang Ali akan meletakkan jawatan dan sekali gus menamatkan pemerintahan Presiden itu selama 33 tahun.Menurut pelan damai yang diusahakan oleh negara-negara Teluk itu yang sebelum ini tertangguh, Ali akan diberi kekebalan daripada didakwa dan beliau turut dibenarkan meletak jawatan secara terhormat.
"Selepas pelbagai usaha yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS), Eropah dan negara-negara Teluk, Presiden menerima cadangan daripada wakil-wakil negara Teluk selepas membuat perubahan kecil dengan majlis menandatangani pelan damai itu diadakan hari ini," ujar pegawai pembangkang, Yahya Abu Usbua.
Stesen televisyen Al Arabiya dengan memetik penasihat Ali melaporkan majlis tandatangani perjanjian peralihan kuasa itu akan diadakan hari ini.
AS dan Arab Saudi yang menjadi sasaran serangan rangkaian al-Qaeda dari Yemen, tidak sabar-sabar menyaksikan krisis politik di Yemen berakhir dengan baik kerana bimbang kekacauan yang berterusan di Yemen akan membuka ruang kepada rangkaian militan itu bergerak bebas.
Namun, beberapa penganalisis politik sangsi perjanjian itu akan berjaya memandangkan pelan damai sebelum ini menemui kegagalan sebanyak dua kali di saat-saat akhir. - Reuters
No comments:
Post a Comment