NOOR RASHID (kanan) dan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Ayub Yakop menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas di Georgetown, semalam. |
Polis bongkar enam makmal pemprosesan, tiga stor di Pulau Pinang
GEORGETOWN: Polis mencatatkan kejayaan besar memerangi sindiket memproses dan pengedaran dadah apabila merampas 251 kilogram (kg) dadah bernilai RM16.13 juta dalam serbuan di beberapa lokasi di negeri ini sejak Khamis hingga kelmarin.
Kejayaan terbesar di Pulau Pinang itu hasil serbuan ke atas tiga kondominium, dua rumah dan satu apartmen dalam serbuan pertama, Khamis lalu.
Dalam serbuan terakhir ke atas enam makmal memproses dadah dan tiga stor kelmarin, polis merampas keseluruhan dadah berjumlah 223.24 kg bernilai RM10.53 juta serta pelbagai jenis peralatan memproses dadah untuk edaran dalam negara.
Operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang turut merampas 11 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM511,000 dan semua harta yang dirampas kini disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucut Hak Harta).
Pengarah JSJN, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata dadah dirampas adalah Ephederine seberat 109 kg, heroin (54.16 kg); heroin tulen (18.65 kg), syabu (16.9 kg); ketamin (16.36 kg); serbuk ectasy (7.82 kg), candu (350 gram), ganja (lima gram), 112,080 biji pil WY dan 12,650 pil ecstasy.
Polis turut menyita wang tunai tempatan dan antarabangsa, simpanan bank, barang kemas, kamera serta komputer riba berjumlah RM666,132.82 dan sepucuk pistol jenis Auto Ilama dan 77 butir peluru hidup.
Katanya, polis turut menahan 16 orang berusia 20 hingga 52 tahun, termasuk empat warga asing dalam operasi berkenaan.
Seramai 14 suspek sindiket memproses dadah termasuk dua wanita warga China ditahan selepas polis menyerbu makmal memproses dadah dan stor di Jalan Datuk Keramat, Jalan Ayer Itam, Jalan SP Chelliah dan Jalan Perak.
Dua warga Iran pula ditahan ketika cuba menyeludup masuk 27.8kg dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
“Siasatan awal mendapati sindiket memproses dadah itu tiada kaitan dengan dua warga Iran yang ditahan di LTAPP,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment