PENGARAH KDRM Selangor, Datuk Azis Yacub menunjukkan 214.5kg heroin mentah di dalam kampit simen (gambar kecil) yang dirampas bulan lalu. |
SEBAHAGIAN daripada heroin mentah bernilai RM37.8 juta yang ditemui dalam kampit simen. |
Kastam rampas dadah RM37.8j
PELABUHAN KLANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sela ngor menumpaskan sindiket dadah antarabangsa apabila merampas heroin mentah seberat 214.5 kilogram dianggarkan bernilai RM37.8 juta yang dimuatkan di dalam kampit simen dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, 28 April lalu.
KDRM dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor turut menahan dua warga Pakistan berusia 21 dan 27 tahun di sebuah kondominium di Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur, Selasa lalu kerana dipercayai mendalangi kegiatan penyeludupan dadah itu.
Sindiket berpangkalan di Islamabad, Pakistan itu dipercayai menghantar lima kontena simen ke Malaysia menerusi Pelabuhan Klang pada 18 April lalu dan memuatkan dadah mentah itu dalam sebuah kontena terbabit.
Kegiatan mereka dicurigai apabila dokumen kargo itu mencatatkan alamat pembeli di Plaza Low Yat Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sedangkan kawasan berkenaan hanya berurus niaga produk berkaitan teknologi maklumat (IT) seperti telefon dan komputer.
Pengarah KDRM Selangor, Datuk Azis Yacub, berkata pada jam 3 petang, 28 April lalu unit penguat kuasa dengan bantuan JSJN Selangor menjalankan pemeriksaan rapi ke atas lima kontena simen yang ditahan 10 hari sebelum itu dan menemui 278 bungkusan serbuk dipercayai heroin mentah disorokkan dalam kampit simen dalam kontena pertama.
“Jika dilihat pada mata kasar, beg simen itu tidak mencurigakan kerana jahitannya kemas dan tidak terdapat sebarang tanda dibuka atau diubah suai tetapi timbangannya berbeza.
“Dugaan sebelum itu tidak meleset apabila menemui heroin mentah dibungkus kemas dalam beg plastik dan disembunyikan di tengah-tengah kampit simen itu,” katanya pada sidang media di Pejabat KDRM Pelabuhan Utara, di sini semalam.
Azis berkata, dadah mentah seberat 780 gram setiap bungkusan itu dimuatkan dalam 560 beg simen dan diletakkan dalam kontena pertama, manakala empat kontena berikutnya memuatkan serbuk simen biasa.
Katanya, dua lelaki Pakistan itu mengaku menerima lima kontena simen dipesan dari sebuah syarikat di Islamabad untuk dibawa ke sebuah syarikat beralamat di Plaza Low Yat.
Mereka kini direman di Balai Polis Dang Wangi sehingga Selasa depan dan dijangka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memper-untukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan sindiket antarabangsa itu bekerjasama dengan pengedar dadah tempatan untuk memproses dadah mentah sebelum dieksport semula ke negara jiran.
“Harga dadah yang sudah diproses meningkat sekurang-kurangnya tiga kali ganda mengikut gred ketelitian memproses. Ini bererti dadah mentah yang dirampas itu boleh dijual pada harga pasaran melebihi RM100 juta,” katanya. -bharian
No comments:
Post a Comment