Pages

Saturday, May 14, 2011

Isteri Osama marah perisik Amerika




SEORANG anggota polis lalu di hadapan kediaman persembunyian Osama di Abbottabad.
SEORANG anggota polis lalu di hadapan kediaman persembunyian Osama di Abbottabad.

CIA gagal kesan percanggahan fakta balu pengasas al-Qaeda

WASHINGTON: Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) sudah menemubual tiga balu Osama bin Laden yang ditahan pihak berkuasa Pakistan selepas pasukan komando elit AS menyerbu sebuah rumah di negara Asia Selatan itu 2 Mei lalu dan membunuh pemimpin al-Qaeda berkenaan.
“Wanita berkenaan agak berang ketika ditemubual pegawai AS itu,” lapor Cable News Network (CNN) yang memetik seorang pegawai Pakistan dan dua pegawai AS sebagai berkata.
Pegawai Pakistan turut berada dalam bilik soal siasat. Mereka dan pegawai AS mengakui tidak mendapat banyak maklumat selain gagal mengesan percanggahan fakta daripada tiga balu Osama itu.

Isteri paling muda Osama ialah Amal Ahmed Abdulfattah, 29, dari Yaman yang cedera ditembak kakinya oleh komando AS itu.

Dua lagi isteri pengasas al-Qaeda itu ialah Khairiah Sabar atau Umm Hamza dan Siham Sabar atau Umm Khalid.

Mereka dikurniakan 20 anak, 11 adalah lelaki termasuk seorang yang maut dalam serangan komando AS itu di Abbottabad.
CNN memetik sumber AS dan Pakistan melaporkan wanita berkenaan ditemubual secara berkumpulan walaupun Washington meminta ia dilakukan secara berasingan.

Isteri paling tua Osama menjadi jurucakap bagi pihak dua yang lain dalam temu bual berkenaan yang turut dihadiri anggota badan Perisikan Antara Perkhidmatan (ISI) Pakistan.

Pegawai kedua-dua kerajaan memberitahu CNN, walaupun keadaan semakin tegang di antara Islamabad dan Washington berikutan pembunuhan Osama di wilayah Pakistan, perkongsian maklumat risikan di antara kedua-dua negara diteruskan.

Rumah Putih sebelum ini meminta Islamabad memberi pegawainya akses kepada ketiga-tiga isteri Osama berkenaan yang dalam tahanan Pakistan.

Badan perisikan AS menjangka wanita terbabit mempunyai maklumat penting berhubung rangkaian al-Qaeda.

Washington sebelum ini juga mahu siasatan dijalankan oleh Islamabad bagaimana Osama boleh bersembunyi bertahun-tahun lamanya di sebuah bandar kem tentera yang berkedudukan 56 kilometer dari Islamabad. – AFP

INFO: Osama dan keluarganya



  • Osama dilahirkan pada 1957 di Arab Saudi, meninggal dunia pada 2 Mei 2011 di Pakistan.






  • 3 isteri Osama ialah Khairiah Sabar, Siham Sabar dan Amal Ahmed Abdulfattah.






  • Dikurniakan 20 anak, 11 adalah lelaki.






  • Perisik AS dan Eropah menganggarkan anggota keluarga bin Laden mungkin 600 orang.-bharian




  • No comments: