Pages

Sunday, May 15, 2011

Pakistan kaji semula hubungan dengan AS



ISLAMABAD 14 Mei – Parlimen Pakistan hari ini mengecam operasi serbuan tentera elit Amerika Syarikat (AS) yang membunuh Osama bin Laden dan menggesa supaya hubungan kedua-dua negara ini dikaji semula.
Mereka turut memberi amaran untuk menutup laluan bekalan kepada tentera AS di Afghanistan jika serangan seumpamanya berlaku lagi.
Pengarah Risikan Antara Perkhidmatan Pakistan (ISI), Leftenan Jeneral Ahmad Shuja Pasha berkata, beliau sedia meletak jawatan berhubung insiden itu yang telah memalukan negara ini dan menyebabkan ejen keselamatan Pakistan disyaki mengetahui tempat persembunyian ketua al-Qaeda.
Semalam, dua serangan berani mati di akademi tentera di barat laut negara ini membunuh 80 orang, serangan yang disifatkan Taliban Pakistan sebagai tindakan pembalasan pertama atas kematian Osama pada 2 Mei lalu.
“Parlimen mengecam tindakan sebelah pihak AS di Abbottabad yang melanggar kedaulatan negara ini,” menurut resolusi yang dikeluarkan.
Anggota Parlimen dari Dewan Tinggi dan Rendah itu turut menggesa kerajaan mengkaji semula hubungan kedua-dua negara untuk melindungi kepentingan kebangsaan dan mahu AS menghentikan serangan menggunakan pesawat tanpa juruterbang ke atas militan.
Pakistan secara rasminya membantah serangan seperti itu kerana melanggar kedaulatan dan membangkitkan kemarahan awam, tambah resolusi itu. – REUTERS

No comments: