Pages

Sunday, May 15, 2011

Keluarga diraja digelar samseng


FILEM mengenai keluarga diraja di Cannes dianggap menjejaskan imej monarki Britain ketika William baru berkahwin dengan Kate Middleton.
FILEM mengenai keluarga diraja di Cannes dianggap menjejaskan imej monarki Britain ketika William baru berkahwin dengan Kate Middleton.

Mohamed al-Fayed biayai filem ulangi konspirasi kematian Diana, Dodi

CANNES (Perancis): Masyarakat antarabangsa kembali memberi tumpuan kepada keluarga diraja Britain selepas satu dokumentari baru provokatif ditayangkan kelmarin di pesta filem Cannes menyifatkan mereka sebagai samseng bersifat perkauman manakala suami Ratu Elizabeth, Putera Philip, lelaki sakit jiwa yang kaki perempuan.

Filem berjudul Unlawful Killing menghidupkan kembali dakwaan mengenai bahawa Puteri Diana yang berjiwa rakyat, menjadi mangsa bunuh pihak berkuasa Britain.
Filem itu bercanggah dengan The King’s Speech dengan menggambarkan keluarga diraja sebagai institusi purba yang mempunyai satu rangkaian kroni rasmi membebankan rakyat Britain.
Bagaimanapun, pengarahnya, Keith Allen menegaskan filem itu bukanlah serangan terhadap sistem beraja.

“Saya tidak rasa ia anti monarki. Saya fikir ia mungkin mempersoalkan kapitalisme,” katanya.

Filem itu mengambil judulnya daripada keputusan siasatan rasmi terhadap kematian Diana pada 1997 dalam kemalangan jalan raya di Paris.

Juri memutuskan puteri itu bukan mangsa bunuh dan menolak dakwaan konspirasi, sebaliknya menyalahkan pemandunya yang mabuk dengan memandu terlalu laju dan mengakibatkan kemalangan.
Tetapi, filem yang dibintangi pelakon Allen, bapa kepada penyanyi Lily Allen, kembali mengulangi teori konspirasi yang diajukan Mohamed al-Fayed.

Al-Fayed yang kematian anak lelakinya Dodi, kekasih Diana, turut menjadi mangsa kemalangan itu.

Jutawan yang juga bekas pemilik gudang beli belah mewah, Harrods, membiayai £2.5 juta (RM12.2 juta) bagi dokumentari itu.

Beliau tetap mempertahankan yang anaknya dan Diana dibunuh agensi rahsia Britain atas arahan atasan yang bimbang hubungan ibu pewaris takhta British itu dengan lelaki Islam.

Filem itu dimulakan dengan jangkaan Diana dalam surat pada 1995 kepada rakannya yang bertulis ‘suami saya merancang satu kemalangan kereta’ dan cuba mendedahkan kelemahan siasatan rasmi kejadian.

Ia menimbulkan lebih banyak persoalan dari jawapan. Siapa berada dalam kereta Fiat putih yang menjadi saksi sebelum kemalangan berlaku di Terowong Alma?

Adakah pemandu, Henri Paul benar-benar mabuk atau seseorang cuba menukar contoh darahnya. Mengapa ambulans Perancis mengambil masa lama untuk sampai ke tempat kejadian.

“Saya tidak mahu membuat filem sensasi,” kata Allen yang menggelarkan dokumentari ini sebagai akaun forensik dalam proses perundangan yang tiada tokok tambah.

Filem itu menyiarkan wawancara tokoh terkenal termasuk pengacara CNN, Piers Morgan, penulis biografi, Kitty Kelley dan ahli psikologi, Oliver James. – AP Berita Harian Online

No comments: