Pages

Sunday, May 15, 2011

Kesan gempa lebih dahsyat



KESAN gempa bumi hampir meruntuhkan bangunan di wilayah Sichuan pada 2009.
KESAN gempa bumi hampir meruntuhkan bangunan di wilayah Sichuan pada 2009.

Korban atasi kemusnahan akibat bencana

GENEVA: Korban akibat gempa bumi meningkat di seluruh dunia tetapi kematian akibat bencana cuaca pula menurun.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa, kerugian ekonomi akibat malapetaka meningkat di setiap rantau lazimnya berikutan kekurangan pelaburan selepas bencana melanda.
Kerosakan prasarana seperti sekolah, pusat kesihatan, jalan raya dan jambatan turut menjejaskan negara yang berpendapatan rendah dan sederhana walaupun peningkatan dilihat dari segi sistem amaran awal, menurut Laporan Penilaian Global mengenai Pengurangan Risiko Bencana.
Negara kaya juga semakin kerap terdedah kepada bencana dengan kemusnahan akibat banjir di Australia, gempa bumi di Jepun dan New Zealand tahun ini, katanya.

“Kemajuan dalam menangani keadaan selepas bencana berlaku tidak sama,” kata Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dalam laporan itu.

Kejadian terbaru di Jepun menunjukkan risiko baru bencana yang perlu ditangani, katanya memberi amaran dengan merujuk kejadian gempa bumi dan tsunami di timur laut Jepun, Mac lalu yang mencetuskan krisis nuklear paling teruk sejak 25 tahun lalu.

Bencana ini sudah menyebabkan kerugian mencecah AS$300 bilion (RM894b) setakat ini tahun ini, iaitu sama teruknya dalam tempoh sepanjang tahun lalu, kata jurucakap PBB yang memetik perangkaan dari Pusat Penyelidikan Epidemiologi untuk Bencana yang bekerjasama dengan PBB.
Kematian akibat bencana berkaitan cuaca seperti banjir dan taufan tropika bertumpu di Asia dan risiko kematian akibat kejadian itu menurun, menurut laporan yang berdasarkan analisis 130 negara.

“Semua bukti yang kami dapati menunjukkan kematian meningkat akibat gempa bumi,“ kata ketua penulis laporan itu, Andrew Maskrey, pada sidang media.
Kebanyakan kematian dan kecederaan bertumpu terutama di kawasan yang sangat jarang terjadi bencana seperti 200,000 maut akibat gempa bumi di Haiti pada Januari 2010, katanya.

Sementara itu, kemajuan dapat dilihat menerusi sistem amaran awal untuk mengarahkan penduduk berpindah ke tempat lebih selamat, bagaimanapun banyak negara masih gagal untuk melabur meningkatkan penggunaan tanah dan kod bangunan, menurut laporan itu.

Satu sebab mengapa negara enggan membuat pelaburan lebih dalam pengurusan risiko bencana mungkin kerana sikap manusia sendiri.

“Semua pihak termasuk individu dan kerajaan khususnya mengambil lewa mengenai risiko bencana di masa akan datang. Jelas dari sudut ekonomi yang pencegahan lebih baik dari merawat,” kata Maskrey.

Kerajaan perlu membuat perlindungan insurans terhadap aset awam bagi risiko bencana, menurut laporan itu.

Bencana alam dan yang disebabkan manusia turut menelan kos industri insurans sebanyak AS$43 bilion (RM128b) pada 2010, kata syarikat insurans kedua terbesar dunia, Swiss Re, pada Mac lalu.

Kebanyakan syarikat insurans terletak di negara maju, Amerika Utara, Jepun dan Eropah, kata Maskrey.

“Syarikat insurans yang bergerak di negara membangun masih sangat rendah, Saya rasa kurang 10 peratus aset yang dilindungi insurans,” katanya.

Peru adalah negara yang berpandangan jauh dengan membuat penilaian bagi setiap projek awam untuk risiko bencana, menurut pakar.

Chile, pula selepas gempa bumi dan tsunami tahun lalu memberi bantuan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

“Ini bermakna keluarga ini mampu untuk menampung kerugian untuk tempoh tertentu dan mengelakkan mereka daripada jatuh miskin, membolehkan mereka terus menghantar anak ke sekolah, menghalang daripada tidak cukup zat dan mengelakkan perkara negatif akibat bencana,” kata Maskrey. – Agensi Berita Harian Online

No comments: