BEBERAPA orang pegawai keselamatan Pakistan menjalankan siasatan ke atas rumah perlindungan Osama di bandar Abbottabad semalam. |
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bahawa Ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden tidak bersenjata semasa dia ditembak mati, kata jurucakap White House di sini, Jay Carney kelmarin.
Bagaimanapun, Carney menegaskan, walaupun tanpa senjata, Osama melakukan penentangan semasa ditembak di sebuah rumah yang menjadi tempat perlindungannya dekat bandar Abbottabad, Pakistan pada malam Ahad lepas.
Dia juga mengesahkan bahawa Osama ditembak di kepala dan dada.
Carney menyatakan tentangan yang dibuat Osama tidak memerlukan tembakan dilepaskan.
Bagaimanapun, beberapa pengikut Osama di dalam rumah itu bersenjata dan berlaku pertempuran.
Kenyataan itu bercanggah dengan pendedahan beberapa pegawai AS sebelum ini bahawa Osama memegang raifal AK-47 semasa dia ditembak mati.
Carney turut menjelaskan bahawa isteri Osama ditembak di kaki tetapi tidak mati.
Pendedahan itu juga bercanggah dengan laporan awal bahawa isteri Osama menjadi perisai manusia dengan melindungi suaminya sebelum dia ditembak mati.
"Dia (isteri Osama) menerpa ke arah penyerang AS (komando) dan dia ditembak di kaki," kata Carney.
Carney berkata, wanita yang ditembak mati dalam rumah itu sebenarnya isteri penyampai mesej Osama, Sheikh Abu Ahmed.-kosmo
No comments:
Post a Comment