Pages

Thursday, May 5, 2011

Beratus-ratus rakyat Syria didakwa rendahkan martabat negara

AMMAN 4 Mei - Beratus-ratus rakyat Syria berhadapan dakwaan merendahkan martabat negara, satu pertuduhan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dalam usaha Presiden Bashar al-Assad untuk menyekat protes yang membantah pemerintahan autokratiknya.
Pemerhati Hak Kemanusiaan Syria berkata, dakwaan tersebut dikemukakan semalam ke atas beratus-ratus rakyat yang ditahan sejak beberapa hari lepas, terutamanya selepas solat Jumaat lalu semasa satu perhimpunan prodemokrasi diadakan.
"Penahanan besar-besaran terus berlaku di seluruh negara dan ia merupakan satu lagi pencabulan hak asasi manusia dan konvensyen antarabangsa," kata pengarah agensi itu, Rami Abdelrahman.
Pertubuhan-pertubuhan hak asasi lain mendakwa, kebanyakan tahanan lelaki turut dipukul dengan teruk dalam satu kempen menahan rakyat termasuk wanita, remaja dan warga tua, namun ia masih gagal menghalang bantahan rakyat yang mahukan pembaharuan. - Reuters
Kempen menahan rakyat itu dipergiat selepas satu unit kereta kebal tentera diketuai adik Presiden, Maher al-Assad, pada minggu lalu membedil dan melepaskan tembakan di bandar Daraa, lokasi pergolakan yang berlarutan selama enam minggu.
Menurut kumpulan-kumpulan hak kemanusiaan, pasukan tentera telah membunuh sekurang-kurangnya 560 penduduk awam sejak protes tercetus di Daraa pada 18 Mac lalu.
Sementara itu, seramai enam penunjuk perasaan ditahan, semalam di bandar Banias selepas pihak berkuasa mengambil alih kawalan di bandar tersebut daripada penunjuk perasaan yang mencabar Assad. - Reuters

No comments: