BERLIN 4 Mei - Bekas Canselor Jerman Barat, Helmut Schmidt mengecam operasi tentera Amerika Syarikat (AS) di Pakistan bagi membunuh Osama bin Laden.
Ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, katanya, semalam.
Pembunuhan Osama yang tidak bersenjata adalah melampaui batas dan AS bertindak seperti polis, hakim dan pelaksana hukuman mati ke atas orang paling dikehendaki di dunia itu, katanya.
Schmidt memberitahu televisyen Jerman, operasi pasukan SEAL tentera laut AS itu juga boleh mendatangkan kesan tidak dijangka di dunia Arab yang kini dilanda pergolakan.
Pandangannya disokong oleh peguam hak asasi manusia Australia, Geoffrey Robertson.
"Tindakan AS bukan keadilan, tetapi memutarbelitkan istilah itu, kerana keadilan bermakna membawa orang ke mahkamah, mendapati mereka bersalah berdasarkan bukti dan menjatuhkan hukuman ke atas mereka," kata Robertson kepada televisyen Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) dari London.
Pakar undang-undang antarabangsa berpejabat di Belanda, Gert-Jan Knoops pula berkata, Osama sepatutnya ditangkap dan diekstradisi ke AS.
"Pihak Amerika berkata mereka memerangi keganasan dan boleh membunuh musuh mereka di medan perang, tetapi hujah itu sebenarnya tidak dapat dipertahankan," katanya.
Seorang ulama kanan di New Delhi, Syed Ahmed Bukhari, askar AS sepatutnya boleh menangkap Osama dengan mudah.
"Amerika menggalakkan hukum rimba di mana-mana sahaja, sama ada di Afghanistan, Iraq, Pakistan atau Libya.
"Orang sudah lama membisu tetapi kini segala batas telah dilanggar," katanya. - Reuters
No comments:
Post a Comment