Pages

Sunday, May 22, 2011

Lamaran akhir Osama ditolak


Mentua terpaksa akur hasrat anak


SANAA: Bapa isteri termuda Osama bin Laden, Ahmed Abdul-Fattah, mulanya tidak bersetuju anak perempuannya, Amal berkahwin selepas pemimpin al-Qaeda itu membuat lamaran tetapi mengalah selepas anaknya sendiri memberi persetujuan.

Ahmed Abdul-Fattah al-Sadah berkata, anaknya berkahwin dengan Osama pada 1999 dan apa yang beliau tahu mengenai politik lelaki Arab Saudi itu ialah menantunya menyokong kempen Mujahidin memerangi tentera Soviet Union di bumi Afghanistan.
Ahmed berkata, beliau menerima beberapa lamaran sebelum membenarkan Amal, seorang daripada 17 anaknya berkunjung ke Afghanistan untuk berkahwin dengan Osama ketika berusia 18 tahun, sedangkan pemimpin al-Qaeda itu berusia awal 40-an.
“Anak saya hanya isteri Osama, tidak lebih daripada itu dan dia tiada kaitan dengan al-Qaeda,” katanya dalam wawancara Reuters di rumahnya di ibu kota Yaman di sini, sambil menambah beliau mahu anak perempuannya itu pulang ke pangkuan keluarga.

Yaman, kampung halaman nenek moyang Osama, menempatkan sayap serantau aktif al-Qaeda yang mengaku bertanggungjawab atas cubaan meletupkan sebuah pesawat ke Amerika pada 2009, meskipun gagal.

Selain itu, anggota militan berkenaan juga mengebom kapal perang tentera laut Amerika, USS Cole di pelabuhan Aden pada 2000. Dua tahun kemudian satu lagi serangan al-Qaeda merosakkan kapal tangki Perancis, Limburg, di Teluk Aden.

Ahmed berkata, Amal mula mengenali pengikut Osama ketika menghadiri sekolah agama sebagai pelajar kepada isteri Rashad Mohammed Saeed, pembantu kepada pemimpin militan itu.
Katanya, beliau tidak menerima sebarang wang daripada Osama untuk perkahwinan dengan Amal.

“Rashad meminta isterinya mencalonkan seorang gadis untuk berkahwin dengan Osama kerana beliau mahu seorang isteri dari Yaman. Guru itu memilih Amal,” katanya.

Lelaki itu pada awalnya memberitahu Ahmed bahawa seorang ahli perniagaan Pakistan mahu melamar anak perempuannya.

“Saya enggan pada mulanya dan bertegas mahu kenal siapa orangnya. Mereka berkata dia adalah Osama bin Laden, dari keluarga kaya di Arab Saudi,” katanya lagi.

Ahmed kemudian mengalah kerana anak perempuannya menyokong lamaran itu: “Dia bertegas dengan pandangannya dan memberitahu mahu berkahwin dengannya dan saya tiada calon suami untuk mana-mana anak perempuan saya. Justeru, saya bersetuju.” – Reuters

No comments: