Pages

Sunday, May 22, 2011

Kanak-kanak antara 44 ditembak di Syria



DAMSYIK 21 Mei - Tentera keselamatan Syria menembak mati sekurang-kurangnya 44 orang orang semalam, termasuk seorang kanak-kanak ketika penunjuk perasaan prodemokrasi melancarkan protes di seluruh negara.
Menurut aktivis, kanak-kanak berusia 12 tahun adalah antara mangsa yang terbunuh di tengah bandar Homs dan 15 orang lagi kematian berlaku di pekan Maaret al-Naaman, berhampiran bandar Idlib.
Dua lagi mangsa terbunuh di bandar Daraa, pusat tunjuk perasan yang telah melanda negara ini sejak 15 Mac lalu, manakala seorang terbunuh di bandar pelabuhan Latakia, dua di pekan Deir Ezzor dan seorang lagi di Hama.
"Mangsa di Maaret al-Naaman terkorban selepas ditembak mati di pintu masuk ke bandar itu ketika orang ramai dari pekan berhampiran berkumpul untuk menyertai protes," menurut seorang aktivis.
Seorang lagi aktivis di Homes berkata, pasukan keselamatan menyerbu sebuah hospital tempatan dan membawa keluar beberapa orang yang cedera dan mayat.
Televisyen kerajaan menuduh kumpulan bersenjata melakukan keganasan itu dan menyatakan mereka melepaskan tembakan ke arah penduduk awam dan pasukan keselamatan di wilayah Idlib dan Homs.
Protes turut dilaporkan berlaku di beberapa bandar di seluruh Syria, termasuk di Damsyik di mana aktivis memberitahu pasukan keselamatan dengan pantas menyuraikan satu tunjuk perasaan yang diadakan di luar masjid.
Di wilayah utama Kurdis di Ain Arab berhampiran bandar Aleppo, beratus-ratus orang menyertai protes jalanan sambil memegang batang kayu zaitun dan memekik 'Tidak kepada keganasan, ya kepada dialog'.
Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pemantau Hak Asasi Manusia pula menyuarakan kebimbangan tentang peningkatan kemasukan rakyat Syria ke negara jiran Lebanon untuk melarikan diri daripada keganasan yang tercetus di negara ini. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: